Saturday, March 7, 2009

USUL 'ISYRIN: 20 PRINSIP YANG MASIH RELEVAN


as-syahid Hasan al-Bana



Apa itu Usul 'isyrin? Ya, soalan ini pasti tidak akan asing bagi mereka yang pertama sekali dijamu dengan perkara ini. Namun, ramai juga dalam kalangan mereka yang sudah tahu malah sudah menghafaznya daripada satu usul ke satu usul yang lain, tapi masih terus saja membekukan anggota daripada terus mengamalkannya. Meraikan mereka yang ingin mengidamkan perpaduan umat Islam secara keseluruhan, Usul 'isyrin atau dalam bahasa melayunya, 20 prinsip merupakan suatu susunan as-syahid Hasan al-Bana yang sangat unik dan menerujakan. Ya, tidak keterlaluan juga jika saya katakan bahawa Hasan al-Bana adalah seorang yang amat genius dengan penghasilan susunan Usul 'isyrin ini. Hendaklah kita fahami pada awalnya lagi, usul dua puluh ini tidaklah disusun dengan sia-sia atau pun sekadar untuk mendapat nama. Malah di sebalik ilham susunan ini terkandung seribu satu makna perpaduan.


Hasan al-Bana mempunyai pengalaman hidup di zaman khilafah Uthmaniyah, dan dalam masa yang sama juga Hasan al-Bana mempunyai pengalaman sakitnya berada di zaman selepas kejatuhan khilafah. Kedua-dua pengalaman yang sungguh bermakna ini menjadikan Hasan al-Bana mempunyai kelayakan untuk menganalisis umat Islam ketika itu. Benar, umat Islam ketikaitu sangat berpecah. Bukan sahaja daripada perpecahan siyasah, malah berlaku juga perpecahan yang ketara dalam aspek aqidah dan ibadah, hatta hingga kan ke perkara yang sangat furuk sekalipun masih mahu bertelagah. Lidi yang berpecah-belah tidak mungkin mampu bertindak gah, namun kotoran mana yang tak dapat disapu oleh lidi-lidi yang bersatu padu. Bimbang dengan fenomena perpecahan dalam kalangan umat Islam sendiri inilah yang membawa Hasan al-Bana mencari satu formula yang bisa menyatukan kita menjadi satu.

Namun, mereka kata, Hasan al-Bana menyusun usul 'isyrin ini ketika di Mesir, relevankah digunakan di Malaysia? Saya pun berkata, ia tetap relevan, kerana ia melibatkan persoalan prinsip asas yang boleh disesuaikan dengan isu-isu yang berlaku di negara masing-masing hatta negara itu gelarnya Bolivia sekalipun. Mereka berkata lagi, Usul 'isyrin disusun dalam tahun 40an, sekarang sudah tahun 2009, maknanya usia usul ini sudah pun mencecah 60an, bukankah ia sudah pun uzur dan hanya menunggu ajalnya? Saya menyelar kerana ianya masih muda dan belum lagi ingin menemui ajalnya kerana jikalau di pandang di Malaysia sahaja, saya masih yakin yang kesemua dua puluh prinsip ini masih lemah penghayatannya. Nah, ada alasan lagi? Begitupun, harus diingat, ini bukanlah wahyu, ini merupakan ijtihad yang genius dari Hasan al-Bana, jikalau anda rasa anda mahu mencipta usul anda sendiri, tidak mengapa, janji syara' dihormati.

Menghuraikan kesemua usul di dalam penulisan ini amatlah sukar, malah perbincangannya saja boleh sahaja memakan masa berhari-hari, namun teruja diri ini untuk berkongsi seberapa yang mampu sementara pena ini terus menyelusuri. Kita lihat sahaja pada usul yang pertama iaitu hendaklah kita memahami bahawa Islam adalah sebuah agama yang komprehensif (syumul) meliputi segala bidang kehidupan. Apa huraian syumul di sini? Maksud mudahnya ialah Islam itu adalah cara hidup. Bidang ketenteraan ada pandangan Islamnya, bidang pendidikan ada cara Islamnya, majal undang-undang ada perspektif Islamnya, siyasah pun tak terlepas juga. Senang kata, Islam itu meliputi segala-galanya, kerana itu Islam sangat berbeza dengan agama-agama lain yang merupakan "agama" semata-mata, bukannya sebagai sebuah cara hidup. Ini sajakah penjelasannya? Tidak, wal hal hendaklah difahami juga syumul di sini membawa erti bahawa semua komponen-komponen kehidupan ini adalah saling lengkap melengkapi. Kecacatan dalam salah satu komponen ini tidak akan berjaya membawa imej Islam yang sebenar, iaitu sebuah agama yang adil, indah dan megah. Mithal kata, sebuah negara itu hanya mengamalkan sistem undang-undang Islam semata-mata, tetapi mengabaikan bidang ekonomi, pendidikan, ketenteraan dan lain-lainnya yang sepatutnya berada dalam cara Islam juga, hah, apa kesannya? Kesannya ialah imej Islam yang dibawa dalah tidak sempurna, dan mungkin sahaja berlaku kecacatan dalam negara tersebut kerana sifat Islam ialah syumuliah dengan erti kata, hendaklah ia lengkap melengkapi. Prinsip yang pertama ini adalah sangat penting kerana inilah yang sepatutnya menjadi asas kita dalam perjuangan. Oleh itu, seruan Islam tidaklah sepatutnya terbatas kepada bidang-bidang atau aspek yang kecil sahaja, malah seruan Islam itu sendiri hakikatnya hendaklah meliputi segala bidang. Tidak patut hanya tumpu kepada hudud dalam masa yang sama ekonomi langsung kita abaikan. Ingat, seruan ini meliputi seluruh bidang, dan hanya orang yang manja dan lemah jiwanya sahaja tidak mahu menyahut seruan ini.

Ya, ini baru satu, berlambak-lambak lagi usul yang kita masih belum menghayatinya. Memang cantik susunan Usul 'isyrin ini, bermula daripada asas iaitu aspek aqidah seperti perihal dua pegangan utama iaitu al-kitab dan sunnah hinggalak kepada perkara yang dianggap kecil tapi penting seperti isu khilafiyah dalam ibadah dan feqah, isu jampi, sihir hinggalah ke isu adat. Kita jeling sikit ke usul yang terakhir iaitu usul yang kedua puluh, disebut bahawa janganlah kita mengkafirkan mereka yang telah pun mengucapkan dua kalimah syahadah dan beramal dengan tuntutan-tuntutannya kecuali dirinya sendiri mengakui kekufurannya atau pun melakukan sesuatu perkara yang tidak boleh ditafsirkan lagi melainkan dengan perkataan kufur. Inilah usul yang terakhir tapi ingat, ini sangat serius, jangan mudah-mudah sahaja kita mengatakan seseorang itu kafir hanya kerana dosa yang dilakukannya. Mereka yang mengikuti isu politik negara ini, pasti sudah biasa mendengar isu kafir-mengkafir ini. Percayalah, perangai ini sangat buruk. Siapalah anda untuk mengatakan orang yang bukan-bukan? Dan yang penting, kuasa untuk menentukan seseorang itu kafir atau muslim bukan rakyat biasa, tapi adalah pemerintah, dalam keadaan kita sekarang, tak lain ialah mahkamah syariah.

Sikit-sikit lama jadi bukit, saya menyeru mereka yang cintakan perpaduan ummah, marilah bersama-sama kita menghayati 20 usul ini, jangan bimbang, ianya masih relevan. Bagi mereka yang belum pun pernah menatapnya, cari-carilah di toko-toko buku, pasti ada. Bagi mereka yang sudah beribu kali mengkhatamkannya, bila lagi nak mengamalkan? Saya yakin dan pasti, jilakau formula ini benar-benar dihayati oleh seluruh umat Islam, ustaziyatul 'alam itu pasti bukan angan-angan lagi, wallahu a'lam.








4 comments:

Abdullah Mujahid Hasanuddin said...

mantap!!

Zan Hassan said...

dahsyat2....Mabruk...nak buat post pasal Sos:Penggunaan yang masih relevan hehehe

Abdullah Mujahid Hasanuddin said...

atau pasal kucing: realiti dan fantasi hehe

marwan_amz said...

Kalo nk sgt, boleler gak ana tulis post, Ahlul Bayt: Bila dan di Mana.......hehe