Monday, February 28, 2011

Meletakkan Seratus Peratus Kepercayaan Kepada Seorang Manusia adalah Suatu Kezaliman


Realiti dunia menyatakan bahawa ada orang yang kita percayai dan ada juga orang yang tidak kita percayai. Kebiasaannya, jumlah orang yang kita percayai itu adalah lebih sedikit daripada jumlah orang yang tidak kita percayai. Ibu bapa merupakan antara orang yang diberikan kepercayaan yang tinggi oleh kita. Ada juga yang meletakkan kepercayaan kepada sahabat karib yang sentiasa berjuang bersama-sama. Tak kurang juga yang meletakkan kepercayaan kepada tokoh-tokoh seperti ustaz, ustazah, guru dan sebagainya.


Dalam bahasa arab, istilah ‘kepercayaan’ dikenali sebagai ‘tsiqah’. Kalimah tsiqah ini juga malahan dikenali dan diguna pakai oleh sesetengah masyarakat Malaysia terutamanya yang mempunyai latar belakang bahasa Arab yang baik. Dalam bahasa Inggeris pula, kita dapat menterjemahkan istilah kepercayaan ini pula kepada ‘trust’. Kita mungkin biasa mendengar ungkapan seperti “I trust you” dan sebagainya yang menunjukkan kepercayaan yang diberikan kita kepada seseorang.


Mempercayai seseorang bukanlah suatu kerja yang mudah. Jarang kita akan mempercayai seseorang dalam sekelip mata sahaja. Ia memerlukan satu proses untuk menukar suatu keadaan daripada tidak percaya kepada percaya, dan juga dari percaya kepada sangat percaya sehinggalah ke akhirnya. Proses ini boleh berlaku dalam jangka masa yang pendek, dan boleh juga dalam masa yang panjang. Ianya bergantung kepada bagaimana seseorang tersebut mampu membina kepercayaan orang lain terhadap dirinya (boleh juga dibaca sebagai membina tsiqah orang lain terhadap dirinya).


Apakah sebab seseorang itu akan meletakkan kepercayaan kepada kita? Atau jika dilihat dari sudut yang lain pula ialah apakah sebab kita boleh meletakkan kepercayaan kita kepada seseorang? Saya pasti bahawa sebab dan faktornya sangat banyak. Mungkin kerana pengetahuannya yang luas (alim). Mungkin juga kerana peribadi mulia yang dimilikinya (akhlaqul karimah). Ada juga yang menganggap kepakaran termasuk dalam faktor-faktor yang kuat dalam menarik kepercayaan kita kepada seseorang. Dengan kata lain, perasaan kepercayaan itu biasanya akan timbul akibat perasaan kagum kita dengan seseorang itu (impress).


Namun, tanpa kita sedari, dalam kita meletakkan kepercayaan tersebut, kadang-kadang kita telah melakukan suatu kezaliman yang sangat besar. Kesan kezaliman tersebut bukan hanya akan terkena kepada orang yang telah diberi kepercayaan tersebut, bahkan ianya juga akan memberikan kesan yang sangat buruk kepada kita yang telah memberikan kepercayaan itu.


Saya memberikan contoh, Aisyah mengenali seorang lelaki yang sangat baik dan soleh yang bernama Ismail. Mereka tidak pernah pun bercakap antara satu sama lain, namun pada pandangan Aisyah, beliau berasa sangat kagum dengan kesolehan peribadi seorang lelaki yang bernama Ismail ini (boleh juga dibaca sebagai secret admirer). Ismail pernah memegang jawatan sebagai presiden sebuah badan dakwah di kampus. Beliau juga sangat terkenal dengan kelantangannya dalam menegak yang makruf dan mencegah yang mungkar. Dengan kata lain, Ismail ialah seorang contoh lelaki yang sangat sempurna (baca sebagai seratus peratus) pada mata Aisyah. Namun pada suatu hari, Aisyah tanpa sengaja telah ternampak Ismail dan seorang perempuan (yang kebetulan merupakan kenalannya juga) berduaan di dalam kereta berhampiran kolej kediaman di institusi pengajiannya. Pada pandangan anda, apakah perasaan yang timbul pada saat itu dalam hati seorang watak yang bernama Aisyah ini?


Mari kita lihat kes yang lain pula, Saiful merupakan seorang pemuda yang sangat aktif berpolitik. Malah, beliau merupakan tulang belakang kepada gerakan parti politik di kawasannya. Keberadaan beliau di dalam parti politik tersebut tidak dapat tidak kerana kepercayaannya yang sangat tinggi (baca sebagai seratus peratus) kepada Presiden Parti yang sudah pun dikaguminya sewaktu masih berada di bangku sekolah lagi. Namun pada suatu hari, Presiden Parti yang sangat dikagumi kerana kecekalannya dalam memperjuangkan Islam itu (sampai pernah dimasukkan ke dalam penjara) tiba-tiba mengeluarkan suatu kenyataan bahawa perjuangan Islam sudah tidak lagi relevan dalam politik tanah air kini. Pada pandangan anda, apakah pula perasaan yang akan timbul pada saat itu dalam hati seorang watak yang bernama Saiful ini?


Dalam meletakkan kepercayaan kita kepada seseorang, kita harus sedar bahawa kepercayaan yang kita berikan ini adalah sebuah kepercayaan kepada seorang manusia (bukannya malaikat), yang pastinya akan terdedah kepada kesilapan dan dosa. Meletakkan kepercayaan searatus peratus kepada seorang manusia adalah suatu kezaliman yang sangat besar. Hal ini kerana kita terlupa untuk memberikan sedikit ruang kepadanya sebagai seorang manusia untuk melakukan kesilapan dan dosa. Akibat daripada kesilapan inilah, kita akan melihat suatu senario di mana Aisyah dan Saiful akan berasa sangat kecewa (frust), down dan tension sehinggakan kata-kata “tak sangka begini perangainya” atau “how dare you” terpacul dari bibir yang sepatutnya membasahkan zikir.


Kekecewaan ini menyebabkan Aisyah merasakan dirinya telah tertipu dengan kesolehan Ismail sebelum ini sehinggakan Aisyah membuat kesimpulan bahawa lelaki soleh ialah seorang lelaki yang hipokrit yang langsung tidak boleh dipercayai. Kekecewaan yang dialami Saiful pula menyebabkan beliau berasa sangat geram sehingga akhirnya beliau membuat keputusan untuk menarik diri terus dari arena politik dan tidak akan sama sekali menyokong mana-mana tokoh yang cuba memperjuangkan agenda Islam lagi selepas ini. Lebih malang lagi, beban perasaan frust, down dan tension ini hanya dialami oleh sebelah pihak sahaja iaitu Aisyah dan Saiful tanpa tanggungan beban walau sedikit pun pada pihak yang kedua. Kenapakah kita mahu memerangkapkan diri kita dengan perasaan yang pada hakikatnya diciptakan oleh kita sendiri?


Oleh itu, berlaku adillah ketika kita meletakkan kadar kepercayaan kita kepada orang lain. Tidak salah meletakkan kepercayaan kepada seseorang, malah kepercayaan tersebut amatlah diperlukan dalam mengaplikasikan konsep ukhuwwah. Namun letaklah dengan sekadarnya sahaja. Mungkin Aisyah boleh mengurangkan kadar kepercayaannya kepada Ismail daripada 100% kepada 80% sahaja di mana 20% lagi disimpan (reserve) untuk memberi ruang kepada Ismail melakukan kesilapan sebagai seorang manusia.


Sama juga kesnya dengan Saiful, mungkin Saiful boleh meletakkan kadar kepercayaannya kepada Presiden Parti sebanyak 70% sahaja di mana 30% lagi disimpan untuk memberi ruang kepada Presiden Parti melakukan kesilapan sebagai seorang manusia. Saya yakin jikalau inilah piawai yang diikuti, kekecewaan Aisyah dan Saiful pasti dapat dminimumkan kerana mereka sudah pun beriktiqad dalam dirinya awal-awal lagi bahawa Ismail dan Presiden Parti bukanlah seorang malaikat.


Jika anda memandang isu ini sebagai satu isu yang remeh, saya mengatakan bahawa anda tersilap. Hal ini kerana isu yang melibatkan hati dan perasaan tak pernah remeh. Kita maklum bahawa sakit di hati sangat sukar untuk diubati. Pengalaman saya masih muda, tetapi sudah banyak kes seperti ini yang telah saya temui. Kesannya, seorang yang asalnya mempunyai potensi diri yang sangat hebat akhirnya menjadi seorang yang sangat lemah lantaran perangkap psikologi yang diciptanya sendiri.


Akhir kalam, saya memerlukan kepercayaan anda kerana saya tak mungkin dapat melaksanakan amanah saya dengan cemerlang tanpa kepercayaan yang diberikan oleh anda. Namun dalam masa yang sama, berlaku adillah kepada saya dengan memberikan sedikit ruang kepada saya sebagai seorang manusia yang pastinya akan tetap melakukan kesilapan. Semoga dengan keadilan yang kepada saya, anda tidak akan mengalami nasib yang sama seperti Aisyah dan Saiful.


Aku bukan hidup kerana pujian manusia,

Apatah lagi mati kerana cacian mereka,

Kerana itulah aku akan terus terbang tinggi,

Ke langit tinggi mengejar apa yang aku impi.


Terima kasih.



Wallahu a’lam



6 comments:

Beejan said...

Yeay..ana first comment..teruskan menulis..

Ana meletakkan 100% kepercayaan kepada enta untuk menulis lagi =P. hehe..

marwan_amz said...

haha, tah boleh tu bro, enta kena kurangkan sikit ke 60% ke, kalau tak enta akan kecewa kalau ana tak menulis lagi dalam beberapa bulan akan datang, adeh.....

Mr. Abang said...

menarik :p

tapi kenape gambar yoq10 menjadi gambar hiasan? hehe. dan name ana hmpir keluar? :p

Azraai Ahmad said...

dlm byk2 ayat, perenggan last tu la poin utama...

Muhammad Faris Zaidi said...

keep it up :)

Awau said...

memang tepat,
itulah situasi yg selalu berlaku.seratus peratus,bila silap maka orang akan berusaha utk jatuhkan seseoran tuh,benci dan sbg.
mgkn kene selalu ingatkan dlm setiap perjumpaan :)
jzkk :D