Saturday, May 15, 2010

Kerap Kali Ukhuwwah Menyelamatkan Kita

Bersama Along suatu ketika dahulu di United Kingdom




Sebelum menamatkan alam persekolahan, seorang cikgu saya pernah menyampaikan satu pesanan yang sangat berharga kepada saya sehingga ianya masih terngiang-ngiang di telinga.

Kata cikgu,

"Sewaktu di alam persekolahan, jikalau kita terjatuh ke dalam lubang, akan ada orang tolong kita untuk bangun semula dan akan ada juga orang yang akan mentertawakan kita."

Saya mengangguk sambil menanti kata-kata cikgu seterusnya.

"Namun sewaktu kamu di alam universiti dan alam bekerja nanti, jikalau terjatuh dalam lubang, bukan sahaja tidak akan ada orang yang membantu kita untuk bangun semula, bahkan orang yang nak tertawakan kita pun tak ada."

Sepanjang tiga tahun saya meninggalkan alam persekolahan, saya memang mengakui bahawa kata-kata cikgu itu memang ada benarnya. Saya memahami dengan erti bahawa hakikatnya kita akan menempuh hidup ini dengan sendiri, menyelesaikan masalah kita ini dengan sendiri dan mencari yang terbaik untuk kehidupan kita ini dengan sendiri. Dunia individualistik.

Mudah kata, siapa yang tahu keputusan akademik kita merosot dan merudum dengan dahsyatnya di alam universiti jikalau tidak kita sendiri yang memberitahu? Alam persekolahan sangat berbeza kerana para guru akan cuba memainkan watak seorang ibu dalam mendorong anak-anak muridnya yang merosot dalam pelajaran untuk bangkit semula dan kembali cemerlang.

Di alam universiti, pensyarah tidak mempunyai masa untuk melayani karenah anak-anak muridnya kerana kesibukan kerja masing-masing. Malah, kebanyakan pensyarah tidak pun mengenali anak muridnya berbeza dengan guru-guru di sekolah. Mungkin ibu bapa akan tahu kerana keputusan tersebut dihantar ke rumah atau dipaksa untuk diberitahu kepada mereka atas desakan yang bertalu-talu. Namun apa yang ibu bapa mampu lakukan hanyalah marah, menegur atau memberi nasihat. Tetapi untuk mengubah keputusan tersebut daripada F ke C sekurang-kurangnya akhirnya adalah di atas usaha kita sendiri.

Saya memberi contoh yang lain, siapa yang tahu kita mempunyai masalah kewangan jikalau kita sendiri tidak mendedahkannya kepada orang lain? Jawapannya ialah memang tiada siapa yang tahu dan tiada siapa pun yang ingin ambil tahu. Diri sendiri pun bergelumang dengan masalah kewangan sendiri, inikan pula mahu membantu orang lain. Maka akhirnya kita dengan sendirinya harus berusaha mencari inisiatif sendiri untuk memperbaiki kewangan kita seperti mencari kerja tambahan, memohon zakat dan sebagainya. Jangan sesekali mengharapkan ada orang lain yang dengan murah hatinya tiba-tiba datang mahu membiayai perjalanan hidup kita seharian. Tak mustahil berlau, tapi ianya sekali dalam sejuta.

Maka dengan ini, saya menyedari bahawa akhirnya hidup kita ini akan sendiri. Jikalau kita mempunyai masalah kesihatan, kita sendirilah yang harus mengharunginya. Jikalau kita mempunyai masalah hati dan perasaan, kita sendirilah yang perlu menyelesaikannya. Jikalau kita mempunyai konflik dalam keluarga, kita sendirilah yang terbeban dengannya. Jikalau kita mempunyai bebanan kerja di pejabat atau dalam organisasi, jangan sesekali menunggu simpati orang untuk membantu kita. Setuju atau tidak, inilah realiti kehidupan. Sehinggakan kumpulan nasyid Saujana pernah menghasilkan sebuah nasyid yang bertajuk 'Sendiri' tidak beberapa lama dahulu dalam memberi peringatan kepada kita.

Namun, sepanjang tiga tahun saya meninggalkan alam persekolahan ini juga, saya telah berjumpa dengan satu formula yang sediki sebanyak mampu mengurangkan bebanan prinsip pertama di atas. Formula tersebut ialah 'ukhuwwah'. Perkataan arab ini memang sangat mudah disebut malah memang sering kali disebut. Mereka yang berjaya menghayati dan merasai dengan sendirinya nilai ukhuwwah pasti akan sangat menghargainya dan tidak akan sesekali membenarkan tali ukhuwwah itu terputus dengan mudahnya.

Kekuatan ukhuwwah memang sangat luar biasa. Buktinya, kerajaan Islam Madinah berjaya didirikan atas dasar ukhuwwah yang mantap antara Muhajirin dan Ansar. Kedua-dua kaum yang tidak pernah bertemu ini, malah tidak mempunyai sebarang pertalian darah ini telah berjaya atas dasar ukhuwwah. Malah perpaduan mereka ini melebihi perpaduan anak beranak atau ahli keluarganya sendiri. Perniagaan sanggup diberikan atas nilai ukhuwwah, isteri sanggup dihadiahkan atas dasar ukhuwwah, rumah sanggup dikongsi atas dasar ukhuwwah dan pelbagai lagi seperti yang telah dirakam sejarah. Begitu kagumnya dunia menyaksikan satu sejarah bagaimana ukhuwwah telah berjaya menyelamatkan segolongan manusia daripada terus hidup dalam kesusahan sehingga akhirnya sebuah daulah yang hebat telah berjaya didirikan.

Berbalik kepada contoh-contoh yang saya berikan di atas, tiada siapa yang akan tahu dan mahu mengambil tahu keputusan akademik kita semester demi semester kita samada menurun atau meningkat atau apa-apa sekalipun. Mind you own business! Orang hanya akan tahu jikalau kita sendiri yang memberitahu. Namun tidak semua perkara tentang kita akan kita dedahkan kepada orang lain. Lebih-lebih lagi jikalau keputusan kita ketika itu sedang merosot. Namun nilai ukhuwwah mampun memecahkan prinsip ini. Dengan adanya ukhuwwah, tanpa perlu diberitahu, dia akan lebih dahulu mengetahui tentang apa yang telah berlaku terhadap sahabatnya. Kalau dia tidak tahu pun, dia akan bersikap proaktif untuk mengetahui masalah sahabatnya dan bersama-sama turun padang menyelesaikan masalah tersebut.

Memang sukar untuk menpunyai sahabat sebegitu. Lebih sukar untuk kita menjadi seorang sahabat yang mempunyai ciri-ciri sebegitu. Hal ini kerana jelas nilai ukhuwwah harganya sangat mahal. Hanya orang-orang yang tertentu sahaja mampu membelinya dan menghayati keindahan ukiran dan nilai seni yang terpahat pada ukhuwwah.

Sebagai seorang manusia yang masih mentah sedang menuntut di institusi pengajian tinggi di tanah air, saya terpaksa mengakui walau betapa sombongnya saya atau betapa kebudakannya saya dalam mana-mana tindakan yang pernah saya lakukan dahulu, kerap kali ukhuwwah datang menyelamatkan saya (khususnya ketika krisis 2007 yang hampir sahaja menyebabkan saya lumpuh dalam mengharungi arus ribut badai dan taufan). Di mata saya sendiri juga, saya telah menyaksikan berapa ramai kawan-kawan yang telah terselamat kehidupannya kerana ukhuwwah yang ada.

Kesimpulan yang boleh saya buat daripada dua prinsip yang saya kemukakan dalam tulisan kali ini ialah, dalam kehidupan kita, kita harus bergerak dengan sendiri (berdikari) dalam mencari yang terbaik untuk kemandirian kita di dunia dan di akhirat. Jangan sesekali mengharapkan ada orang yang sentiasa memerhatikan kita dan boleh memberikan pertolongan kepada kita pada bila-bila masa sahaja yang kita perlukan. Ada ketikanya ada orang mampu membantu kita, namun ada ketikanya hanya diri kita sahaja yang dapat membantu diri kita, hatta kedua ibu-bapa kita pun tidak mampu berkata apa-apa ketika itu. Maka untuk mengatasi masalah ini, pasak mesti kuat, akar harus kukuh dan iman perlu mantap. Ketika itu kita akan mampu berdikari walaupun satu dunia tidak mengendahkan kita.

Namun, bebanan ini mampu dikurangkan (bukan dihapuskan, hanya dikurangkan) jika kita menyemai dalam diri kita nilai-nilai ukhuwwah seperti yang telah diajar oleh Allah dan rasul melalui Quran dan Sunnah. Kita bukan sahaja perlu mencari kawan yang baik dan soleh, tetapi carilah kawan yang baik dan soleh yang rela untuk berukhuwwah bersama kita. Nescaya suatu masa nanti kita bila kita sedang kesunyian, lidah kita tanpa dipaksa akan mengungkapkan,

'rindunya nak berukhuwwah'.


Sekian,



Wallahu a'lam.


8 comments:

keretasorong said...

"Kerap Kali Ukhuwwah Menyelamatkan Kita" ^_^

Nuh Zuleffendi said...

Insyaallah,walau satu dunia xkisahkn kita,allah akan kisahkn kita.
kita xmerasai sbnr2 ukhuwwh sehingga kita jauh dr tmn seperjuangn kita.

Unknown said...

nice entri..=)

botak said...

ape jd kat kau 2007 dulu??

marwan_amz said...

"Ukhuwwah Teras Kegemilangan"....


Kepada Adi Botak, kisah 2007 itu panjang citernya, insya Allah nanti masuk sem nanti kita bole sembang lama2, hehe....

c's said...

tapi sesetengah orang masa dlm kawah [maksudnya:terjatuh] suka ambil keputusan diam dan bersendiri, tak mahu orang campur urusan. yang kes mcm nih, macam mana?

p/s mcm mana progress pengajian law? huhu

marwan_amz said...

Kepada c's

Tabiat manusia memang begitu. Apabila terjatuh dalam kawah, banyak sebab mengapa ianya tidak mahu dikongsikan dengan orang lain. Seperti malu, x mahu menyusahkan orang lain, soal kepercayaan dan lain2. Dalam sesetengah kes,ia boleh ditafsirkan sebagai sifat sombong atau degil.

Tetapi, ukhuwwah tidak mengenali batasan ini. Ukhuwwah yang baik, suci dan tulen sama sekali tidak akan mengenali sifat sombong atau degil ini. Maka pointnya ialah, ukhuwwah yang berkualiti tetap mampu menyelamatkan kita walaupun kita hanya mendiamkan diri. Boleh terima?

p/s:Law ek, adeh, progress tak lah mantap atau cemerlang, tetapi hikmahnya memang mula terdedah satu per satu....

Nor Aizat Rahimi B Rostam Rahimi said...

terbaik marwan!

ana sgt setuju, kerap kali ukhuwwah yg menyelamatkan kita =)

insyaAllah, lepas ni kita boleh semai dan eratkan lagi ukhuwwah antara kita..heee.. baru ramai sikit org yg boleh selamatkan ana.. ^_^