Monday, September 21, 2009

Pasca Ramadhan: Berdikarilah dalam beribadah


Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar

Ada pendapat yang mengatakan hari raya haruslah disambut dengan penuh kesedihan, bukan bersedih kerana teringatkan kampung halaman, tetapi bersedih kerana telah tamatnya peluang untuk menggadakan ibadah di dalam bulan Ramadhan yang mulia. Pahala sunat digandakan, malam lailatul qadar dihamparkan, semuanya dalam bentuk gandaan, kan wajar untuk kita menangisi pemergiannya?

Benar, dan ada juga pendapat yang mengatakan hari raya ialah hari untuk bergembira. Bergembira menyambut kemenangan setelah berjaya menahan hawa nafsu untuk tempoh yang bukan biasa. Ini juga wajar kerana sememangnya bukanlah satu perkara yang tidak mudah untuk menjaga segala-gala pantang larang ketika berpuasa.

Walau bagaimana pendapat pun, kedua-dua elemen ini adalah wajar dan haruslah ada dalam diri kita, sedih kerana sudah tidak dapat lagi bonus, gembira kerana berjaya melawan arus.


Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar

Bulan Ramadhan memanglah suatu bulan yang sangat istimewa. Ia merupakan hadiah Allah kepada hamba-hamba-Nya yang komited dalam beribadah. Saya cukup gemar dengan analogi yang pernah dibawa oleh saudara Nuh Zuleffendi dalam suatu sesi tazkirah Pre-Ramadhan yang mengumpamakan situasi bulan Ramadhan ini seperti sebuah pasar raya (Jusco) yang menawarkan Hari J-Card (Hari yang khusus untuk pemegang kad keahlian Jusco membeli barangan dengan potongan harga yang lumayan). Jusco itu sendiri diumpamakan seperti bulan Ramadhan, potongan-potongan harga itu pula ibarat pahala-pahala yang lumayan, dan saya ingin tambah (memandangkan saudara Nuh tidak menyebutkan tentang ini) yang pemegang kad keahlian tersebut adalah orang Islam itu sendiri.

‘Eidul Fitri juga hari yang sangat istimewa. Ini adalah hari kemenangan memang tidak disangkalkan lagi. Hadis nabi terang menegaskan bahawa untuk umat Islam, hanya ada dua ‘eid (perayaan) sahaja iaitu ‘Eidul Fitri dan ‘Eidul Adha. Sifu saya ketika di Mesir, Ustaz Hamadah Hussein pernah membuat kenyataan ketika kami sedang berdiskusi yang mengatakan bahawa penggunaan perkataan ‘eid pada tempat-tempat selain yang dinyatakan dalam hadis adalah salah daripada segi konsep seperti penggunaan ‘Eidul Milad (Hari Kelahiran) yang banyak digunakan oleh sesetengah umat Islam dalam meraikan hari kelahiran.


Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar

Apa-apa pun, haruslah diambil sebagai iktibar bahawa bulan Ramadhan ini menuntut kita akhirnya supaya mampu untuk berdikari dalam beribadah. Bulan Ramadhan ini tak salah untuk saya umpamakan sebagai tongkat yang membantu si tua. SIfatnya sebagai penyokong. Tanpanya kita masih boleh lagi berjalan tetapi seperti sahaja rasa kurangnya motivasi. Samalah seperti bulan Ramadhan, ia merupakan hadiah daripada Allah untuk menaikkan motivasi kita dalam terus beribadah dengan harapan bahawa setelah tamatnya tempoh motivasi ini, kita mampulah untuk berdikari dengan amalan kita tersebut.

Maka haruslah menjadi tindakan dan iltizam kita bahawa jikalau ketika dalam Ramadhan, kita memperolehi motivasi pahala yang berganda-ganda dalam melaksanakan amalan sunat, seharusnya kita sudah mampu untuk berdikari selepas meninggalnya bulan Ramadhan. Jikalau ketika dalam Ramadhan, kita memperolehi motivasi lailatul qadar untuk bangun solat malam, seharusnya kita sudah mampu berdikari untuk bangun solat malam selepas meninggalnya bulan Ramadhan. Jikalau ketika dalam bulan Ramadhan, kita memperolehi motivasi untuk meminumkan kehendak nafsu syahawat kita daripada terus bergelora, seharusnya kita sudah mampu untuk berdikari untuk meminimumkan kehendak nafsu syahawat kita selepas meninggalnya bulan Ramadhan.

Inilah seharusnya menjadi resolusi kita sebagai graduan-graduan Ramadhan agar sahaja kita mampu berdikari dalam melaksanakan ibadah.

‘Eid Mubarak ucapan daripada saya kepada semua pembaca-pembaca sekalian. Tolonglah jangan menyambutnya dengan mercun yang boleh meletupkan kepala dan tangan.


Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar walillahil hamd



Kenangan hari raya bersama sahabat-sahabat lama di Al-Amin Bangi



p/s: Maaf kerana penulisan ini hanya mampu dipaparkan sehari selepas ‘Eidul Fitri diraikan di Malaysia.