Thursday, June 18, 2009

Jaulah Mesir'09: Koleksi Gambar-gambar Pilihan

Alhamdulillah, Jaulah Mesir'09 yang telah dirancangkan ini telah pun berjalan dengan selamat sekali. Bermula daripada bernafasnya diri di Cairo International Airport pada 30 April 2009 hinggalah kembali ke Kuala Lumpur International Airport pada 8 Jun 2009. Sesungguhnya perjalanan selama 40 hari itu sangat menyeronokkan, mencabar dan penuh dengan hikmah. Jom kita jelajah dalam post kali ini pula, semoga bermanfaat!

.



Ya, inilah gambar pilihan yang pertama. Gambar sang pelajar bersama sang mengajar, Ustaz Hamadah Hussein. Seorang ustaz yang sangat berkarakter, penyabar, periang, pelawak dan sangat bersungguh dalam melaksanakan amanah. Anda boleh bayangkan seorang cikgu yang mampu bercakap dan berceloteh dalam kelas untuk masa 5 jam dengan wajah yang riang? Jujur saya tidak mampu. (Juga seorang penyokong fanatik al-Ahly, hehe)





Ketika bersama-sama mengikuti rehlah anjuran Markaz al-Diwan selepas sebulan penat menuntut ilmu. (Berlatar belakang kan Kubu Salahuddin al-Ayyubi yang tegap lagi kukuh itu.)





Anda bermimpi untuk mengurangkan berat di bumi anbiyaa'? Nasihat daripada saya, jangan mimpilah!





Hmmm, apa yang menarik tentang gambar ini ye, kalau anda berada di Malaysia, anda memang tidak akan hairan dengan keindahan taman ini. Tetapi jika anda berada di Mesir, anda pasti akan berubah fikiran. (Berehat sebentar di Hadiiqah al-Azhar)





Hah, kan dah jauh benar gambar ini dengan gambar di atas. Inilah keadaan perumahan yang bisa dinampak di bumi Mesir khususnya di kawasan perkampungan. Gambar di atas merupakan gambar yang diambil ketika berjaulah ke Muhafazah Tanta. (Muhafazah itu boleh diumpamakan seperti daerah atau pun negeri di Malaysia). Walaupun gambar di atas seolah-olah menunjukkan bangunan yang tidak siap, tapi memang begitulah kebiasaannya rumah-rumah di Mesir, rumah tak siap.





Bak kata Izzuddin Nadzif@Tong , rumahnya terletak di kawasan "rural area". Lebih kurang seperti di gambar atas. Tapi ini bukan di Kaherah, masih di Tanta. Lokasi penggambaran terletak di lorong depan rumah Ustaz Muawwidz (pertama dari kanan).





Hah, ini pula ketika sedang membeli Kebab di sebuah kedai di Muhafazah Mansoura. Budak arab waktu kecil-kecil memanglah comel, tapi bila besar, mungkin sekali lagi anda akan berubah fikiran.





Alhamdulillah, kita sudah pun sampai di Alexandria spesifiknya di Montazah. Sebuah daerah yang sangat berbeza daripada daerah-daerah lain di Mesir, seolah-olah berada di bumi yang lain. (sangat cantik). Jikalau anda sudah menonton filem Indonesia Ketika Cinta Bertasbih, anda pasti akan kenal dengan latar belakang gambar ini.





Istana yang cantik dan indah. Inilah istana miliknya Raja Farouq, raja terakhir Mesir yang telah digulingkan oleh Jamal Abdul Nasser dan sekutu-sekutunya. Jika tidak silap, gerakan Islam Ikhwanul Muslimin juga membantu bersama-sama dalam menggulingkan raja yang zalim ini.





Ustaz Hazwan tersenyum berposingkan latar belakang Piramid. Tibalah pula kami di Giza, daerah Piramid dengan menaiki kereta berjenama Matrix seperti yang anda lihat.





Berlatar belakang kan binaan yang diiktiraf sebagai antara 7 benda ajaib di dunia. Inilah juga pemandangan Mesir yang sebenar-benarnya, semata-mata padang pasir.




Asyik gambar pemandangan luar je, tak ada gambar Masjid ke? Ha, ini antara lokasi yang terdapat dalam Masjid Amru al-Ash. Sudah hampir asar ketika gambar inji dipetik. Sebenarnya banyak je lagi masjid yang dah pergi. Tapi untuk mempamerkan semua gambar adalah sangat keterlaluan, hehe...






Anda nampak apa yang cuba disampaikan dalam gambar ini? Inilah yang dikatakan bekas tapak kaki Rasulullah. Terletak di dalam Masjid As-Shafie betul-betul bersebelahan dengan maqam as-Shafie. Mengikut sesetengah riwayat yang popular, imam as-Shafie telah bermimpi menjumpai Rasulullah. Dan apabila sahaja bangun, beliau ternampak bekas tapak kaki Rasulullah di situ, Wallahu a'lam...





Datang Mesir untuk melancong saja pun tak puas juga. Apa lagi, ustaz Nazrul dan ustaz Hakimi pun mengajak saya ikut bertalaqqi dengan Syeikh Ali Jum'ah di Masjid al-Azhar yang sudah pun menjadi kebiasaan sebahagian kecil pelajar-pelajar al-Azhar pada hari sabtu. Inilah suasana ilmu di Masjid yang diasaskan oleh kerajaan Fatimiyyah ini, ketika ini rakaman televisyen sedang dilakukan.





Jikalau anda menuduh saya tidak bersukan, inilah gambar untuk menafikannya. (Walaupun saya tiada di dalam gambar). Bola sekarang sedang cantik berada di bawah kaki ustaz Shazwan@Haruman Kasturi yang hanya menunggu bila-bila masa sahaja untuk menjarigkannya. Inilah suasana di Souq Sayyarah (Pasar kereta), tempat yang menjadi himpunan untuk pelajar-pelajar luar negar beriadah bermain bola. (Termasuklah pelajar-pelajar Somalia.)






Pertemuan akan diselangi dengan perpisahan. Itu sudah pasti. Sangat merindukan sahabat-sahabat (para ustaz dan doktor) yang sedang berjuang gigih di Ardhul Kinanah ini. Tanpa ditemani ahli keluarga, sudah tentu sahabat-sahabat yang menjadi tempat melepaskan duka. "Warnai Hidupmu dalam Ikatan Persaudaraan". Terima kasih semua!!!






p/s: Mahu sahaja diletakakkan semua gambar di sini, tetapi yang telah saya katakan, bunyinya agak keterlelaun. Apa-apapun, terima kasih kepada anda yang telah bersama-sama menjelajahi jaulah kali ini.



Monday, June 15, 2009

Menghargai seutus surat Cinta


Jom dengar suatu pengembaraan...



Muaz berkeluh kesah, jiwanya berasa sungguh tidak tenteram. Terasa seolah-olah seperti sang burung yang menanti ibunya tiba di sangkar. Menunggu sebuah khabar gembira tiba mencengkam di dada. Setiap hari Muaz tidak lalai untuk keluar menjenguk peti pos yang tersangkut di pagar hadapan rumah. Hari demi hari, jiwanya terasa gundah. Kalau tidak surat untuk ibu, pasti untuk ayah. Apa lagi kalau bukan bil elektrik, bil air, bilk angin dan pelbagai jenis bil yang tidak pernah pun diambil tahu oleh Muaz. Yang Muaz tahu hanyalah menunggu, menunggu dan menunggu khabar gembira itu tiba. Muaz terus bersugul.

Akhirnya Muaz tersenyum jua, sesuatu yang dinantikan itu tiba juga akhirnya. Ya, sebuah surat yang pasti akan membuatkan sebuah hati berterbangan indah di awanan. Burung-burung yang tabiatnya berterbangan juga tidak mungkin dapat merasakan apa yang dirasai oleh Muaz. Bila masa pula burung ada nafsu dan akal serentak seperti manusia?

Masa itu ibarat pedang, maka bukalah Muaz akan lembaran yang dinanti-nantikan itu, Muaz kaku buat beberapa minit yang tidak dapat dikesan. Apa kejadahnya ini? Masakan aku tidak dapat membacanya? Getus Muaz dalam hati. Muaz mengeluh, hatinya yang sudah pun membuat persiapan untuk meraikan kegembiraan julung kalinya ini terus luntur dek arus cerita. Tidak tersangka sama sekali dalam diri yang berita gembira itu diukir dengan ukiran halus yang paling asing sekali setakat tempoh 20 tahun hidupnya ini,ya, bahasa Russia (Adeh).

Muaz menyandarkan badannya yang kurus itu ke kerusi penyandar sambil memikir-mikirkan langkah seterusnya. Ini adalah berita gembira, tak akan aku mahu membiarkan ianya berlalu sepi sahaja. Apakah cinta aku yang telah lama berputik selama ini akan terkubur begitu sahaja? Batu nisan bukannya murah nak beli.

Idea itu datang juga, mungkin akibat gegaran kepalanya setelah setandan pisang jatuh terjelopok tepat tanpa lari seinci pun ke atas kepalanya. Muaz sudah bertekad, biarlah bagaimana cubaan sekalipun, aku akan berusaha sedaya upaya untuk mencari siapa sahaja makhluk Tuhan yang sanggup menterjemahkannya. Aku sanggup bayar walau terpaksa menjual maruah aku sekalipun (ayat ini hanyalah ayat metafora, sila jangan ambil serius). Persoalannya sekarang, di manakah harus aku mula mencari? Anda semua harus ingat, Muaz ketika ini berada di sebuah zaman di mana kemudahan internet, telefon bimbit, apatah lagi sms belum lagi muncul. Mudah kata, zaman dahulu kala. Namun, tekad itu tekad, ini adalah berita gembira! (Tidak menjadi kesalahan untuk anda membayangkan situasi zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu ketika ini).

Dipendekkan cerita, Muaz menjumpai juga seorang ahli terjemah yang mahir dan fasih dalam bertutur dalam 7 Bahasa. Selain bahasa Russia, ahli terjemah ini sangat hebat dalam bahasa Inggeris, Arab, Perancis, Latin, Cina, dan tidak dilupakan juga kepada bahasa Mongolia. Ahli terjemah itu, juga dikenali sebagai syeikh Zulfadhli, meminta izin daripada Muaz untuk mengambil masa selama 3 hari 3 malam untuk menterjemahkannya. Amri ilallah, Muaz akur sahaja dengan permintaan daripada syeikh Zulfadhli walaupun penantian itu suatu penyeksaan.

Alhamdulliah, berkat kesabaran yang mendalam dalam jiwa, Syeikh Zulfadhli menghadiahkan terjemahan surat itu kepada Muaz secara percuma. Muaz perlahan-lahan membeliakkan mata membacanya satu demi satu. Mata Muaz berkaca-kaca. Tanpa disedari titisan air berkilauan terus mengalir membasahi pipi kasarnya itu. Ternyata pengorbanannya selama ini dalam memahami maksud sebenar surat itu tidak sia-sia. Ya, inilah berita gembira. Jejaka manakah yang tidak gembira apabila wanita yang diidamkannya selama ini mengabulkan hasrat emosinya. Itulah dia sebuah surat cinta daripada Maria Sharapova, betapa wanita berkulit putih melepak itu dengan setulus hatinya telah menerima lamarannya untuk menjadi bidadari hidupnya, teman yang akan menghiasi perjalanan hidupnya yang sungguh panjang ini, subhanallah.

Muaz mengesat titisan-titisan air mata yang masih terharu mengalir, dia berasa sungguh bertuah pada hari itu. Sambil melipat kemas surat daripada yang tersayang itu, Muaz tiba-tiba memikirkan sesuatu. Dia adalah seorang lelaki berbangsa Bangladesh, sementara bakal isterinya itu berbangsa Russia, pasti isterinya tidak akan memahami bahasa Bangladesh yang dituturkannya, dan juga begitu nasibnya sama memandangkan Muaz juga tidak memahami walau seurat pun bahasa Russia. (Anda mungkin akan mempersoalkan, “Apa kebendanya cerita ini?” Macam mana mereka boleh bercinta sedangkan mereka langsung tidak memahami antara satu sama lain? Wallahu a’lam, mungkin mereka pernah jatuh cinta pandang pertama ketika bertembung di gelanggang tenis suatu masa dahulu, siapa tahu kan?)

Akal yang dikurniakan kepada Muaz rupanya tidak sia-sia. Demi cinta aku sanggup mengorbankan segala-galanya. Akhirnya Muaz bertekad untuk menguasai bahasa Russia bergurukan syeikh Zulfadhli selama genap tempoh peredaran bumi mengelilingi matahari. Bahagialah hidup mereka berdua hingga ke anak cucu menggunakan bahasa Russia. Ameen….

Tamatlah sebuah kisah romantis yang sangat memberi kesan terhadap golongan yang suka jatuh cinta kepada bangsa yang bukan sejenisnya. Jikalau anda merasakan cerita pendek ini telah pun menghiburkan hati anda sepanjang pengembaraan anda sebentar tadi, tahniah dan terima kasih saya ucapkan. Namun, seperti yang saya katakan, setiap penulisan yang saya tampilkan di dalam blog ini bukanlah semata-mata sia-sia. DI sebaliknya saya ingin menyelitkan beberapa pengajaran yang mampu menjadikan kita sama-sama insan yang baik lagi soleh.

Kisah Muaz di atas adalah merupakan sebuah kisah perjuangan dan pengorbanan seorang lelaki yang berusaha untuk memahami apakah isi surat yang dihantar oleh perempuan idamannya itu. Bermula dengan mencari ahli terjemah, kemudian menunggu ahli terjemah siap menterjemah sehinggalah sanggup menuntut ilmu bahasa dalam satu tempoh yang sangat panjang semata-mata demi merealisasikan cintanya kepada kekasihnya itu. Inilah luar biasanya cinta!

Ya, Muaz sekarang sedang hangat dilamun cinta. Tanpa kita sedari, kita juga mempunyai surat cinta masing-masing. Malahan surat cinta itu telah pun sampai di tangan sebelum tangisan kita didengari di alam yang fana ini lagi, malah nenek moyang kita pun belum sempat lagi melabuhkan sujud di muka bumi ini. 1400 tahun dahulu tu taw, bukan semalam dan pastinya bukan esok. Tidak lain dan tidak bukan, itulah dia kitab suci al-Quran. Pastinya kita tidak akan dapat memahami al-Quran dengan sepenuh raganya tanpa mendalami bahasa al-Quran dengan lebih mendalam.Benar membaca tanpa memahami makna pun sudah diganjari pahala, namun tanpa pemahama, seolah-olah kita sedang syok sendiri sahaja tanpa menghayati maksud sebenar risalah cinta yang dikurniakan itu. Apa lagi, Muaz sudah pun bahagia bersama Maria Sharapova, bukankah ada yang lebih layak lagi untuk dicintai dengan sepenuh raga? Renungilah arasy yang tinggi, di situlah tempatnya bersemadi.

“Sesungguhnya telah pun aku turunkan kepada Nabi Muhammad Quran di dalam bahasa Arab agar kamu berfikir”

(Yusuf:2)



Lokasi gambar ini adalah di Bandar Kaherah, bukan di Tanah Melayu, fikir-fikirkanlah mengapa....



p/s: Cerita yang telah disampaikan ini merupakan hasil suntingan saya terhadap isi sebuah tazkirah yang telah disampaikan oleh saudara Azrul Azuan, mantan presiden BADAR sekolah ketika itu bertempat di Musolla Sayyidina Ali pada suatu masa dahulu ketika saya sedang menuntut ilmu di Bandar DiRaja Klang.