Pulangnya saya daripada markaz petang itu dikejutkan dengan berita daripada Bilal. Katanya ada orang Arab menelefonnya mencari saya. Terkejut juga saya ketika itu, selain daripada kakitangan markaz tempat saya belajar, tak pernah pula saya berhubungan dengan mana-mana orang Arab di situ. Malah tidak sampai seminggu pun saya memanaskan kaki di atas bumi ribut pasir ini. Saya bertanya kepada Bilal, apa lagi yang dikatakan? Bilal hanya menggeleng, dia yang sudah hampir setahun berada di bumi anbiya’ ini pun tidak dapat mengerti apa yang dituturkan dalam talian. ‘Ammi pekat barang kali?
Sedang asyik bermain bola pada petang itu, berlari anak Ustaz Shazwan memberikan saya telefon bimbit Bilal, saya mengagak yang terdapat panggilan lagi daripada orang Arab yang dimaksudkan Bilal sebentar tadi. Lantas berbunyi,
“Hello, Marwan? I’m your mother’s friend from Southampton.”
Fuh, auntie Fatima rupanya, subhanallah.
Maka Jumaat malam, saya yang ditemani Ustaz Os, Ustaz Hassan, Ustaz Ridzuan dan Ustaz Ali Baharom bersama-sama menziarahi Auntie Fatima di rumahnya yang terletak di dalam kawasan perumahan yang sama juga di Hayyu Ashir, Nasr City (Di Mesir, panggilan ustaz adalah suatu panggilan yang biasa kepada pelajar Malaysia yang menuntut dalam pengajian Islam di sana). Ummi sudah pesan dengan jelas dalam e-melnya supaya jangan pergi seorang diri, khuatir akan fitnah. Ustaz Os sempat menyarankan kepada saya untuk membelikan buah khukh sebagai buah tangan daripada kami.
Kedatangan kami di hadapan rumahnya disambut dengan sedikit malu oleh Abdullah yang berusia 11 tahun. Wajah Abdullah sungguh tampan, hasil campuran baka orang Inggeris dan orang Arab sangat menakjubkan. Sedang kami cuba beramah mesra dengan Abdullah yang asyik tersenyum malu itu, auntie Fatima pun keluar menyambut kehadiran kami. Penampilan dirinya yang berjubah dan berniqab penuh membuatkannya tidak ubah seperti perempuan-perempuan Arab lain yang ada di Mesir.
Ummi mengenali auntie Fatima ketika sama-sama belajar dahulu di Southampton, United Kingdom pada awal tahun 80an dahulu. Hidayah Allah mencecah jiwa auntie Fatima sehingga membawanya memeluk agama Islam melalui pelajar-pelajar perempuan Malaysia yang sama-sama menuntut di sana. Bersuamikan lelaki Mesir, auntie Fatima mengikuti suaminya untuk menginap di Cairo. Namun, kebahagiaan itu tidak selamanya berkekalan, mereka bercerai tidak beberapa lama kemudian. Hidup tanpa suami di bumi asing pasti suatu pengalaman yang sungguh menggetirkan, pengalaman hidup selama 17 tahun di Cairo cukup untuk membuktikan segala-galanya.
Kisah ketabahan itu tidak berhenti setakat itu sahaja, ummi dikhabarkan sendiri oleh auntie Fatima yang beliau sedang menderita penyakit kanser thyroid, lantas membuatkan ziarah kami pada malam itu menjadi sungguh bermakna sekali. Memandangkan kami adalah lelaki yang juga merupakan ajbani, sudah pasti kami tidak dapat bersembang dan mengetahui dengan lebih mendalam tentang penyakit yang sedang dihadapinya. Maka ummi memberi cadangan kepada saya supaya mencadangkan kepada pelajar-pelajar perempuan Malaysia yang berada di Mesir untuk turun padang menziarahinya. Cadangan ini telah pun saya utarakan kepada Ustaz Os, dan juga Ustaz Bazli yang merupakan ahli jawatan kuasa badan kebajikan anak-anak Selangor Mesir, pastinya saya masih menanti jawapan yang positif.
Bersama auntie Fatima dan anak bongsunya Abdullah