Seperti yang pernah saya sampaikan ketika sesi taaruf (yang telah mengambil masa yang sangat panjang, maaf), saya dilahirkan sangat membenci novel atau cerpen. Mungkin kerana diri yang sering terdedah dengan karya-karya pop yang hanya reti membawa tema yang tidak pernah bertujuan untuk mendidik hati. Namun, usia di tingkatan 4 dan 5 telah sedikit sebanyak menerujakan saya apabila mula didedahkan dengan karya-karya yang sarat dengan unsur intelektual. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Faisal Tehrani merupakan tokoh yang sangat dikagumi. Bermula ketika itu, saya mula memberanikan diri untuk menyelongkar lebih jauh akan dunia sastera yang sangat indah ini. Bukankah Allah menyukai semua perkara yang indah?
Pengalaman mengikuti MInggu Penulis Remaja 2009 (MPR 2009) merupakan pengalaman yang menerujakan. Sebagai seorang anak muda yang masih bertatih dalam dunia sastera, mendapat bimbingan daripada penulis-penulis mapan yang nama mereka sudah melayang-layang sememangnya menjadi impian. Hati sudah mula tertawan bermula sahaja dengan sesi perkongsian khas bersama Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, diikuti dengan ceramah-ceramah khas genre cerpen dan puisi oleh Profesor Rahman Shaari, Tuan Nurizan Raja Yunus, sesi bersama editor Dewan Sastera iaitu Puan Rozninah Abd. Azib dan ceramah tentang penerbitan karya remaja oleh Encik Abd Rahim Omar. Ketika ini, otak terasa sangat sarat dengan ilmu dan pengetahuan yang tidak pernah diketahui sebelum ini.
Selepas teori, praktikalnya pula. Bimbingan khas daripada para fasilitator yang sudah mapan sungguh merancakkan jiwa. Itulah pertama kali saya dapat bersemuka dengan penulis dunia sastera wanita yang sangat terkenal iaitu Bonda Zaharah Nawawi. Dirinya sudah berumur, namun kecekalan untuk mendidik anak bangsa tidak pernah diabaikan. Sangat kagum melihat novel ‘Anugerah’ tulisannya yang lebih tebal daripada Kamus Dewan. Bayangkan hati anda apabila sebaik sahaja selesai anda membacakan cerpen anda, Bonda Zaharah Nawawi tersenyum sambil berkata ‘Cantik!’. Siapa yang tidak gembira mendapat pengiktirafan daripada seorang penulis mapan yang telah memenangi pelbagai anugerah termasuk Anugerah S.E.A Write pada tahun 1996.
Walaupun saya bukanlah peminat genre puisi, tapi segala pengetahuan yang saya peroleh daripada Haji Shamsudin Othman tak pernah saya abaikan. Gaya pemuisi ini sangat sempoi dan selamba tetapi kata-katanya amat kuat terpahat di jiwa. Malu sungguh saya apabila hanya memperoleh satu sahaja sinonim untuk perkataan ‘potong’ sementara rakan-rakan yang lain berjaya menjumpai 12 perkataan. Puan Salmiah Ismail juga merupakan fasilitator untuk genre puisi. Pandangannya sangat kritis dan teliti. Setiap metafora, simile dan pesonafikasi yang timbul di dalam setiap karya peserta dibedah benar-benar. Satu pun tidak terlepas.
Di samping itu, pengalaman bersama kakak Khairunnasriah Abdul Salam sangat mengesankan. Beliau yang lebih mesra dipanggil sebagai Kak Nas mula saya kenali sebagai tutor subjek Constitutional Law 1 di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim. Segala ilmu dan teknik penulisan cerpen dan novel yang dicurahkan berdasarkan dua karya cerpen beliau, ‘Biar Zaitun Terus Rimbun’ dan ‘Pencinta Putih Kelir, Pewaris Merah Muleta’ sangat efektif. Peringatan beliau akan kecetekan ilmu sastera yang kami miliki sangat menginsafkan. Benarlah kata pujangga yang mengatakan semakin banyak ilmu yang kita perolehi, semakin kita menyedari akan kejahilan diri.
Walau bagaimanapun, program ini pasti tidak akan indah dan meriah tanpa rakan-rakan seperjuangan yang sekarang sudah pun membebani amanah sebagai mantan MPR 2009. 27 remaja yang selama ini tidak pernah bertemu telah berkampung selama seminggu di Golden Straits Villas Beach Resort, Port Dickson daripada 19-25 Disember atas dasar minat dan perjuangan yang satu. Bermula dengan pertemuan bersama Syukri Sapuan dan Amirul Hamudin di hadapan bas sehinggalah kepada rakan-rakan yang lain, memori tersebut pasti tidak dapat dilupakan. Teringat malam di mana otak sedang penat lelah memerah ilham, satu per satu ahli kamar 12-3 tumbang perlahan-lahan. Ariff Hafizi telah lama tidak kelihatan, Muziru pula sudah lelap meniarap di hadapan laptop, Aedi Asri yang cuba bertahan juga tak gah menyengkang mata. Akhirnya saya juga rebah di atas sofa yang terletak di ruang tamu apartmen, semuanya kerana demi menyiapkan satu karya tugasan.
Lautan penghargaan kepada semua rakan-rakan yang sudi berkongsi proses kreatif masing-masing, sesungguhnya seribu pengajaran dan pengalaman yang telah saya belajar daripada anda semua. Wajah-wajah murni anda semua pasti tidak akan saya lupakan. Semoga kita dapat bersama-sama lagi bertemu di arena dunia penulisan yang lebih indah. Tak lupa juga kepada para fasilitator, penceramah jemputan dan yang paling berkerja keras iaitu krew MPR 2009 yang diterajui oleh Kak Zeti sepasukan. Celoteh Encik Salleh dan Kak Mah masih segar terngiang-ngiang.
Terima kasih juga kepada MPR 2009 kerana dengannya saya berjaya menyiapkan karya tugasan genre cerpen berjudul ‘Melangkah Sendirian’. Sebuah cerpen yang mengangkat tema hak asasi kemanusiaan berlatarkan gelanggang bola sepak telah banyak membantu saya meraih peserta terbaik MPR 2009 genre cerpen. Semoga pihak DBP dapat merealisasikan impian kami supaya segala hasil karya yang dihasilkan sewaktu bengkel dapat dikumpulkan dalam sebuah antologi. Semoga status saya dan rakan-rakan yang sudah bergelar mantan MPR akan menyemarakkan semangat kami semua untuk terus menghiasi dunia penulisan sastera tanah air.
Terima Kasih MPR 2009!