Sunday, August 2, 2009

MANSUH! Zalim selamanyalah zalim



Artikel ini telah dihentikan penyiarannya kepada umum setelah 2 minggu sejak 2 Ogos 2009 sehingga 16 Ogos 2009 artikel ini disiarkan. Semoga pembaca beroleh manfaat dan faedah yang akhirnya boleh membuahkan amal daripada artikel ini. Sekian, wallahu a'lam.





Wednesday, July 8, 2009

Michael Owen: Dari Liverpool ke Manchester

Meniti perjalanan dari Liverpool ke Manchester



Saya ialah peminat Michael Owen, malah saya hampir sahaja merasakan yang saya termasuk juga dalam golongan peminat fanatiknya (walaupun tidaklah sefanatik golongan mereka yang setiap pakaiannya wajib terlekat nama pemain bintang ini). Saya mula menyaksikan perlawanan bola sepak Inggeris dengan penuh khusyuk selama 90 minit ketika saya berumur 10 tahun (tahun 1999). Perlawanan tersebut dilangsungkan pada waktu pagi subuh dan kebetulan juga ketika itu adalah bulan Ramadhan, maka saya mengambil kesempatan untuk menonton perlawanan ini demi mengelakkan diri daripada terus tidur selepas subuh (Saya tidak ingat sama ada ini adalah siaran ulangan atau siaran langsung). Perlawanan yang bertuah ini ialah antara Newcastle United dan Liverpool (Yeaahhh).

Apa yang istimewanya tentang perlawanan ini? Selain daripada merupakan perlawanan pertama yang pernah saya tonton, perlawanan inilah juga yang telah menyebabkan saya telah jatuh cinta pandang pertama pada pemain muda yang sedang melonjakkan nama ketika itu, Michael James Owen. Perlawanan tersebut bermula dengan Newcastle United mendahului dengan dua gol setelah 56 minit bermain melalui jaringan Nolberto Solano dan Andreas Andersson. Ada 34 minit lagi untuk bermain, saya yang ketika itu baru sahaja bertatih dalam dunia bola sepak ini lantas mengeluh, “Kalah dah lah Liverpool, tak kan boleh kejar.”

Sedang saya menonton sambil lewa itu, terdapat seorang pemain yang telah memberikan aspirasi dalam mengembalikan Liverpool ke dalam rentak perlawanan. Itulah pemain muda (wonderkid) Michael Owen. Michael Owen menjaringkan gol pertama untuk Liverpool, kemudian diikuti oleh Karlheinz Riedle lantas menyamakan kedudukan ketika itu dengan dua gol masing-masing. Namun pada minit 80, Michael Owen sekali lagi mencipta nama dengan jaringan ketiga setelah memperoleh lantunan (rebound) daripada sepakan Jamie Redknapp yang sekaligus menjadikan dua gol permulaan Newcastle United menjadi sia-sia sahaja. Perlawanan berakhir dengan kemenangan kepada Liverpool dengan 4 gol berbalas 2 setelah Karlheinz Riedle melengkapkan jaringan pada minit ke 84. Perlawanan ini tidaklah begitu popular memandangkan ianya tidak pun memberi kesan kepada saingan merebut juara English Premier League, tetapi bagi saya, ini adalah sebuah perlawanan yang tidak dapat dilupakan, cukup untuk membuat saya kagum dengan karakter dan keazaman pemain muda berbakat besar ketika itu ,yang baru sahaja mencecah 20 tahun.

Sememangnya seorang pemain yang berbakat luar biasa, saya agak terkilan kerana terlepas menyaksikan World Cup 1998 (memandangkan saya masih belum meminati bola ketika itu) di mana Michael Owen telah menjaringkan gol solonya yang telah membuka mata dunia ketika menentang Argentina. Kelajuannya ketika itu telah berjaya melepasi halangan 3 pemain pertahanan Argentina. Sangat menggugah jiwa!

Menyelidiki sejarah hidupnya, kariernya bermula di Liverpool di mana beliau telah menghabiskan 8 musim (1996-2004) dengan menjaringkan 158 gol daripada 297 perlawanan. Siapa yang boleh melupakan kejayaannya bersama Liverpool pada musim 2001 apabila Liverpool Berjaya memenangi 5 kejuaraan dalam satu musim iaitu Uefa Super Cup, Uefa Cup, English Community Shield, English FA Cup dan English League Cup. Semua tentu masih ingat bagaimana Michael Owen telah menjaringkan dua gol dalam 10 minit terakhir ketika menumpaskan Arsenal di final English FA Cup. (Saya ketika itu tidak sempat menyaksikan dua gol itu secara langsung kerana saya telah meletakkan kepala di atas bantal ketika itu). Dan pada tahun yang sama juga, beliau telah dianugerahkan sebagai pemain terbaik Eropah musim 2001. Ya, boleh dikatakan, beliau telah mencatatkan karier keemasan ketika berada di Liverpool dan sama sekali tidak dapat dinafikan, beliaulah hero Liverpool sepanjang zaman standing dengan Kevin Keegan, Kenny Dalglish dan Ian Rush pada era 70 dan 80an.

Namun, cita-cita yang tinggi untuk bermain di arena yang lebih tinggi menyebabkan Owen berhijrah ke Sepanyol pada tahun 2004 untuk bersama-sama bintang-bintang dunia, umpamanya Ronaldo, Raul, Zinedine Zinade, Luis Figo, David Beckham dan Roberto Carlos di Real Madrid. Bermain di Kelab yang lebih hebat, tentulah persaingannya lebih hebat. Sehebat-hebat Michael Owen, beliau masih lagi di belakang Raul, Ronaldo, Robinho dan Fernando Morientes yang menyebabkan kesebelasan utamanya terancam, ditambah lagi dengan persiapan untuk bermain di dalam World Cup 2006 di Germany. Jodoh yang tidak lama, hanya satu musim di Real Madrid, namun 16 gol daripada 43 perlawanan (yang kebanyakannya bermain sebagai pemain gantian) bukanlah sesuatu pembelian yang sangat mengecewakan.

Atas pujukan bekas kapten pasukan England, Alan Shearer, Owen kembali ke England dengan memakai baju berjersi belang jalur hitam putih iaitu Newcastle United. Ketibaan Owen pastilah amat menggembirakan, namun kehebatan Owen sentiasa diancam dengan kecederaan menyebabkan beliau digelar sebagai pemain yang cenderung kepada kecederaan (injury prone player). Masalah kecederaan ini bukan baru, malah semenjak di Liverpool lagi beliau telah dibelenggu dengan pelbagai jenis kecederaan sehingga menyebabkan beliau terpaksa berada di luar padang untuk tempoh berbulan-bulan lamanya. Atas sebab ini, 4 musim di Newcastle United hanya berjaya menghasilkan 30 gol sahaja, tidaklah teruk tetapi harapan daripada pemain bintang ini pastilah lebih daripada itu dengan bayaran gaji sebanyak 110 000 pound sterling seminggu.

Kini, Michael Owen sekali lagi telah menggegarkan berita dunia bola sepak apabila telah berjaya melengkapkan perpindahan ke Manchester United dengan perpindahan percuma setelah kontraknya tamat di Newcastle (tidak mungkin beliau akan kekal di Newcastle yang telah pun tersingkir ke Championship). Malah Owen sendiri bersedia untuk menerima supaya gaji pokoknya dipotong daripada 110 000 pound sterling seminggu kepada hampir 20 000 pound sterling seminggu sahaja tetapi dengan insentif bonus yang lumayan jikalau beliau berjaya bermain dengan cemerlang. Keinginan untuk bermain dalam kesebelasan utama pasti sangat diidamkan untuk merebut kembali kedudukan di dalam skuad Englang yang akan ke South Africa pada tahun 2010. Taruhan yang bijak dibuat oleh Sir Alex Ferguson (walaupun dilabel sebagai pembelian paling aneh musim ini oleh media). Secara peribadi, berpindahnya Michael Owen ke Manchester United bukanlah sesuatu yang menggembirakan bagi peminat setia Liverpool (saya lah tu) memandangkan Liverpool dan Manchester United merupakan musuh tradisi sejak bertahun-tahun ini. Menyaksikan Michael Owen bermain di Anfield berjersikan Red Devils pasti sangat menerujakan, satu lagi musim bola sepak yang pasti menarik akan disaksikan dunia…


Memori saat-saat kegemilangan bersama Liverpool

Thursday, June 18, 2009

Jaulah Mesir'09: Koleksi Gambar-gambar Pilihan

Alhamdulillah, Jaulah Mesir'09 yang telah dirancangkan ini telah pun berjalan dengan selamat sekali. Bermula daripada bernafasnya diri di Cairo International Airport pada 30 April 2009 hinggalah kembali ke Kuala Lumpur International Airport pada 8 Jun 2009. Sesungguhnya perjalanan selama 40 hari itu sangat menyeronokkan, mencabar dan penuh dengan hikmah. Jom kita jelajah dalam post kali ini pula, semoga bermanfaat!

.



Ya, inilah gambar pilihan yang pertama. Gambar sang pelajar bersama sang mengajar, Ustaz Hamadah Hussein. Seorang ustaz yang sangat berkarakter, penyabar, periang, pelawak dan sangat bersungguh dalam melaksanakan amanah. Anda boleh bayangkan seorang cikgu yang mampu bercakap dan berceloteh dalam kelas untuk masa 5 jam dengan wajah yang riang? Jujur saya tidak mampu. (Juga seorang penyokong fanatik al-Ahly, hehe)





Ketika bersama-sama mengikuti rehlah anjuran Markaz al-Diwan selepas sebulan penat menuntut ilmu. (Berlatar belakang kan Kubu Salahuddin al-Ayyubi yang tegap lagi kukuh itu.)





Anda bermimpi untuk mengurangkan berat di bumi anbiyaa'? Nasihat daripada saya, jangan mimpilah!





Hmmm, apa yang menarik tentang gambar ini ye, kalau anda berada di Malaysia, anda memang tidak akan hairan dengan keindahan taman ini. Tetapi jika anda berada di Mesir, anda pasti akan berubah fikiran. (Berehat sebentar di Hadiiqah al-Azhar)





Hah, kan dah jauh benar gambar ini dengan gambar di atas. Inilah keadaan perumahan yang bisa dinampak di bumi Mesir khususnya di kawasan perkampungan. Gambar di atas merupakan gambar yang diambil ketika berjaulah ke Muhafazah Tanta. (Muhafazah itu boleh diumpamakan seperti daerah atau pun negeri di Malaysia). Walaupun gambar di atas seolah-olah menunjukkan bangunan yang tidak siap, tapi memang begitulah kebiasaannya rumah-rumah di Mesir, rumah tak siap.





Bak kata Izzuddin Nadzif@Tong , rumahnya terletak di kawasan "rural area". Lebih kurang seperti di gambar atas. Tapi ini bukan di Kaherah, masih di Tanta. Lokasi penggambaran terletak di lorong depan rumah Ustaz Muawwidz (pertama dari kanan).





Hah, ini pula ketika sedang membeli Kebab di sebuah kedai di Muhafazah Mansoura. Budak arab waktu kecil-kecil memanglah comel, tapi bila besar, mungkin sekali lagi anda akan berubah fikiran.





Alhamdulillah, kita sudah pun sampai di Alexandria spesifiknya di Montazah. Sebuah daerah yang sangat berbeza daripada daerah-daerah lain di Mesir, seolah-olah berada di bumi yang lain. (sangat cantik). Jikalau anda sudah menonton filem Indonesia Ketika Cinta Bertasbih, anda pasti akan kenal dengan latar belakang gambar ini.





Istana yang cantik dan indah. Inilah istana miliknya Raja Farouq, raja terakhir Mesir yang telah digulingkan oleh Jamal Abdul Nasser dan sekutu-sekutunya. Jika tidak silap, gerakan Islam Ikhwanul Muslimin juga membantu bersama-sama dalam menggulingkan raja yang zalim ini.





Ustaz Hazwan tersenyum berposingkan latar belakang Piramid. Tibalah pula kami di Giza, daerah Piramid dengan menaiki kereta berjenama Matrix seperti yang anda lihat.





Berlatar belakang kan binaan yang diiktiraf sebagai antara 7 benda ajaib di dunia. Inilah juga pemandangan Mesir yang sebenar-benarnya, semata-mata padang pasir.




Asyik gambar pemandangan luar je, tak ada gambar Masjid ke? Ha, ini antara lokasi yang terdapat dalam Masjid Amru al-Ash. Sudah hampir asar ketika gambar inji dipetik. Sebenarnya banyak je lagi masjid yang dah pergi. Tapi untuk mempamerkan semua gambar adalah sangat keterlaluan, hehe...






Anda nampak apa yang cuba disampaikan dalam gambar ini? Inilah yang dikatakan bekas tapak kaki Rasulullah. Terletak di dalam Masjid As-Shafie betul-betul bersebelahan dengan maqam as-Shafie. Mengikut sesetengah riwayat yang popular, imam as-Shafie telah bermimpi menjumpai Rasulullah. Dan apabila sahaja bangun, beliau ternampak bekas tapak kaki Rasulullah di situ, Wallahu a'lam...





Datang Mesir untuk melancong saja pun tak puas juga. Apa lagi, ustaz Nazrul dan ustaz Hakimi pun mengajak saya ikut bertalaqqi dengan Syeikh Ali Jum'ah di Masjid al-Azhar yang sudah pun menjadi kebiasaan sebahagian kecil pelajar-pelajar al-Azhar pada hari sabtu. Inilah suasana ilmu di Masjid yang diasaskan oleh kerajaan Fatimiyyah ini, ketika ini rakaman televisyen sedang dilakukan.





Jikalau anda menuduh saya tidak bersukan, inilah gambar untuk menafikannya. (Walaupun saya tiada di dalam gambar). Bola sekarang sedang cantik berada di bawah kaki ustaz Shazwan@Haruman Kasturi yang hanya menunggu bila-bila masa sahaja untuk menjarigkannya. Inilah suasana di Souq Sayyarah (Pasar kereta), tempat yang menjadi himpunan untuk pelajar-pelajar luar negar beriadah bermain bola. (Termasuklah pelajar-pelajar Somalia.)






Pertemuan akan diselangi dengan perpisahan. Itu sudah pasti. Sangat merindukan sahabat-sahabat (para ustaz dan doktor) yang sedang berjuang gigih di Ardhul Kinanah ini. Tanpa ditemani ahli keluarga, sudah tentu sahabat-sahabat yang menjadi tempat melepaskan duka. "Warnai Hidupmu dalam Ikatan Persaudaraan". Terima kasih semua!!!






p/s: Mahu sahaja diletakakkan semua gambar di sini, tetapi yang telah saya katakan, bunyinya agak keterlelaun. Apa-apapun, terima kasih kepada anda yang telah bersama-sama menjelajahi jaulah kali ini.



Monday, June 15, 2009

Menghargai seutus surat Cinta


Jom dengar suatu pengembaraan...



Muaz berkeluh kesah, jiwanya berasa sungguh tidak tenteram. Terasa seolah-olah seperti sang burung yang menanti ibunya tiba di sangkar. Menunggu sebuah khabar gembira tiba mencengkam di dada. Setiap hari Muaz tidak lalai untuk keluar menjenguk peti pos yang tersangkut di pagar hadapan rumah. Hari demi hari, jiwanya terasa gundah. Kalau tidak surat untuk ibu, pasti untuk ayah. Apa lagi kalau bukan bil elektrik, bil air, bilk angin dan pelbagai jenis bil yang tidak pernah pun diambil tahu oleh Muaz. Yang Muaz tahu hanyalah menunggu, menunggu dan menunggu khabar gembira itu tiba. Muaz terus bersugul.

Akhirnya Muaz tersenyum jua, sesuatu yang dinantikan itu tiba juga akhirnya. Ya, sebuah surat yang pasti akan membuatkan sebuah hati berterbangan indah di awanan. Burung-burung yang tabiatnya berterbangan juga tidak mungkin dapat merasakan apa yang dirasai oleh Muaz. Bila masa pula burung ada nafsu dan akal serentak seperti manusia?

Masa itu ibarat pedang, maka bukalah Muaz akan lembaran yang dinanti-nantikan itu, Muaz kaku buat beberapa minit yang tidak dapat dikesan. Apa kejadahnya ini? Masakan aku tidak dapat membacanya? Getus Muaz dalam hati. Muaz mengeluh, hatinya yang sudah pun membuat persiapan untuk meraikan kegembiraan julung kalinya ini terus luntur dek arus cerita. Tidak tersangka sama sekali dalam diri yang berita gembira itu diukir dengan ukiran halus yang paling asing sekali setakat tempoh 20 tahun hidupnya ini,ya, bahasa Russia (Adeh).

Muaz menyandarkan badannya yang kurus itu ke kerusi penyandar sambil memikir-mikirkan langkah seterusnya. Ini adalah berita gembira, tak akan aku mahu membiarkan ianya berlalu sepi sahaja. Apakah cinta aku yang telah lama berputik selama ini akan terkubur begitu sahaja? Batu nisan bukannya murah nak beli.

Idea itu datang juga, mungkin akibat gegaran kepalanya setelah setandan pisang jatuh terjelopok tepat tanpa lari seinci pun ke atas kepalanya. Muaz sudah bertekad, biarlah bagaimana cubaan sekalipun, aku akan berusaha sedaya upaya untuk mencari siapa sahaja makhluk Tuhan yang sanggup menterjemahkannya. Aku sanggup bayar walau terpaksa menjual maruah aku sekalipun (ayat ini hanyalah ayat metafora, sila jangan ambil serius). Persoalannya sekarang, di manakah harus aku mula mencari? Anda semua harus ingat, Muaz ketika ini berada di sebuah zaman di mana kemudahan internet, telefon bimbit, apatah lagi sms belum lagi muncul. Mudah kata, zaman dahulu kala. Namun, tekad itu tekad, ini adalah berita gembira! (Tidak menjadi kesalahan untuk anda membayangkan situasi zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu ketika ini).

Dipendekkan cerita, Muaz menjumpai juga seorang ahli terjemah yang mahir dan fasih dalam bertutur dalam 7 Bahasa. Selain bahasa Russia, ahli terjemah ini sangat hebat dalam bahasa Inggeris, Arab, Perancis, Latin, Cina, dan tidak dilupakan juga kepada bahasa Mongolia. Ahli terjemah itu, juga dikenali sebagai syeikh Zulfadhli, meminta izin daripada Muaz untuk mengambil masa selama 3 hari 3 malam untuk menterjemahkannya. Amri ilallah, Muaz akur sahaja dengan permintaan daripada syeikh Zulfadhli walaupun penantian itu suatu penyeksaan.

Alhamdulliah, berkat kesabaran yang mendalam dalam jiwa, Syeikh Zulfadhli menghadiahkan terjemahan surat itu kepada Muaz secara percuma. Muaz perlahan-lahan membeliakkan mata membacanya satu demi satu. Mata Muaz berkaca-kaca. Tanpa disedari titisan air berkilauan terus mengalir membasahi pipi kasarnya itu. Ternyata pengorbanannya selama ini dalam memahami maksud sebenar surat itu tidak sia-sia. Ya, inilah berita gembira. Jejaka manakah yang tidak gembira apabila wanita yang diidamkannya selama ini mengabulkan hasrat emosinya. Itulah dia sebuah surat cinta daripada Maria Sharapova, betapa wanita berkulit putih melepak itu dengan setulus hatinya telah menerima lamarannya untuk menjadi bidadari hidupnya, teman yang akan menghiasi perjalanan hidupnya yang sungguh panjang ini, subhanallah.

Muaz mengesat titisan-titisan air mata yang masih terharu mengalir, dia berasa sungguh bertuah pada hari itu. Sambil melipat kemas surat daripada yang tersayang itu, Muaz tiba-tiba memikirkan sesuatu. Dia adalah seorang lelaki berbangsa Bangladesh, sementara bakal isterinya itu berbangsa Russia, pasti isterinya tidak akan memahami bahasa Bangladesh yang dituturkannya, dan juga begitu nasibnya sama memandangkan Muaz juga tidak memahami walau seurat pun bahasa Russia. (Anda mungkin akan mempersoalkan, “Apa kebendanya cerita ini?” Macam mana mereka boleh bercinta sedangkan mereka langsung tidak memahami antara satu sama lain? Wallahu a’lam, mungkin mereka pernah jatuh cinta pandang pertama ketika bertembung di gelanggang tenis suatu masa dahulu, siapa tahu kan?)

Akal yang dikurniakan kepada Muaz rupanya tidak sia-sia. Demi cinta aku sanggup mengorbankan segala-galanya. Akhirnya Muaz bertekad untuk menguasai bahasa Russia bergurukan syeikh Zulfadhli selama genap tempoh peredaran bumi mengelilingi matahari. Bahagialah hidup mereka berdua hingga ke anak cucu menggunakan bahasa Russia. Ameen….

Tamatlah sebuah kisah romantis yang sangat memberi kesan terhadap golongan yang suka jatuh cinta kepada bangsa yang bukan sejenisnya. Jikalau anda merasakan cerita pendek ini telah pun menghiburkan hati anda sepanjang pengembaraan anda sebentar tadi, tahniah dan terima kasih saya ucapkan. Namun, seperti yang saya katakan, setiap penulisan yang saya tampilkan di dalam blog ini bukanlah semata-mata sia-sia. DI sebaliknya saya ingin menyelitkan beberapa pengajaran yang mampu menjadikan kita sama-sama insan yang baik lagi soleh.

Kisah Muaz di atas adalah merupakan sebuah kisah perjuangan dan pengorbanan seorang lelaki yang berusaha untuk memahami apakah isi surat yang dihantar oleh perempuan idamannya itu. Bermula dengan mencari ahli terjemah, kemudian menunggu ahli terjemah siap menterjemah sehinggalah sanggup menuntut ilmu bahasa dalam satu tempoh yang sangat panjang semata-mata demi merealisasikan cintanya kepada kekasihnya itu. Inilah luar biasanya cinta!

Ya, Muaz sekarang sedang hangat dilamun cinta. Tanpa kita sedari, kita juga mempunyai surat cinta masing-masing. Malahan surat cinta itu telah pun sampai di tangan sebelum tangisan kita didengari di alam yang fana ini lagi, malah nenek moyang kita pun belum sempat lagi melabuhkan sujud di muka bumi ini. 1400 tahun dahulu tu taw, bukan semalam dan pastinya bukan esok. Tidak lain dan tidak bukan, itulah dia kitab suci al-Quran. Pastinya kita tidak akan dapat memahami al-Quran dengan sepenuh raganya tanpa mendalami bahasa al-Quran dengan lebih mendalam.Benar membaca tanpa memahami makna pun sudah diganjari pahala, namun tanpa pemahama, seolah-olah kita sedang syok sendiri sahaja tanpa menghayati maksud sebenar risalah cinta yang dikurniakan itu. Apa lagi, Muaz sudah pun bahagia bersama Maria Sharapova, bukankah ada yang lebih layak lagi untuk dicintai dengan sepenuh raga? Renungilah arasy yang tinggi, di situlah tempatnya bersemadi.

“Sesungguhnya telah pun aku turunkan kepada Nabi Muhammad Quran di dalam bahasa Arab agar kamu berfikir”

(Yusuf:2)



Lokasi gambar ini adalah di Bandar Kaherah, bukan di Tanah Melayu, fikir-fikirkanlah mengapa....



p/s: Cerita yang telah disampaikan ini merupakan hasil suntingan saya terhadap isi sebuah tazkirah yang telah disampaikan oleh saudara Azrul Azuan, mantan presiden BADAR sekolah ketika itu bertempat di Musolla Sayyidina Ali pada suatu masa dahulu ketika saya sedang menuntut ilmu di Bandar DiRaja Klang.



Wednesday, May 20, 2009

Ziarah Auntie Fatima

Wajahnya diliputi niqab sepenuh tubuh, namun sukma hatinya jelas memancarkan sinar seribu ketabahan. Suara yang dilantunkan sebegitu halus dan lembut menampakkan lagi dirinya yang sedang terik menanggung beban. Jiwa mana yang tidak tersentuh melayari kehidupan ibu kepada empat orang anak yang sungguh mencabar ini, sungguh luar biasa.

Pulangnya saya daripada markaz petang itu dikejutkan dengan berita daripada Bilal. Katanya ada orang Arab menelefonnya mencari saya. Terkejut juga saya ketika itu, selain daripada kakitangan markaz tempat saya belajar, tak pernah pula saya berhubungan dengan mana-mana orang Arab di situ. Malah tidak sampai seminggu pun saya memanaskan kaki di atas bumi ribut pasir ini. Saya bertanya kepada Bilal, apa lagi yang dikatakan? Bilal hanya menggeleng, dia yang sudah hampir setahun berada di bumi anbiya’ ini pun tidak dapat mengerti apa yang dituturkan dalam talian. ‘Ammi pekat barang kali?

Sedang asyik bermain bola pada petang itu, berlari anak Ustaz Shazwan memberikan saya telefon bimbit Bilal, saya mengagak yang terdapat panggilan lagi daripada orang Arab yang dimaksudkan Bilal sebentar tadi. Lantas berbunyi,

“Hello, Marwan? I’m your mother’s friend from Southampton.”

Fuh, auntie Fatima rupanya, subhanallah.

Maka Jumaat malam, saya yang ditemani Ustaz Os, Ustaz Hassan, Ustaz Ridzuan dan Ustaz Ali Baharom bersama-sama menziarahi Auntie Fatima di rumahnya yang terletak di dalam kawasan perumahan yang sama juga di Hayyu Ashir, Nasr City (Di Mesir, panggilan ustaz adalah suatu panggilan yang biasa kepada pelajar Malaysia yang menuntut dalam pengajian Islam di sana). Ummi sudah pesan dengan jelas dalam e-melnya supaya jangan pergi seorang diri, khuatir akan fitnah. Ustaz Os sempat menyarankan kepada saya untuk membelikan buah khukh sebagai buah tangan daripada kami.

Kedatangan kami di hadapan rumahnya disambut dengan sedikit malu oleh Abdullah yang berusia 11 tahun. Wajah Abdullah sungguh tampan, hasil campuran baka orang Inggeris dan orang Arab sangat menakjubkan. Sedang kami cuba beramah mesra dengan Abdullah yang asyik tersenyum malu itu, auntie Fatima pun keluar menyambut kehadiran kami. Penampilan dirinya yang berjubah dan berniqab penuh membuatkannya tidak ubah seperti perempuan-perempuan Arab lain yang ada di Mesir.

Ummi mengenali auntie Fatima ketika sama-sama belajar dahulu di Southampton, United Kingdom pada awal tahun 80an dahulu. Hidayah Allah mencecah jiwa auntie Fatima sehingga membawanya memeluk agama Islam melalui pelajar-pelajar perempuan Malaysia yang sama-sama menuntut di sana. Bersuamikan lelaki Mesir, auntie Fatima mengikuti suaminya untuk menginap di Cairo. Namun, kebahagiaan itu tidak selamanya berkekalan, mereka bercerai tidak beberapa lama kemudian. Hidup tanpa suami di bumi asing pasti suatu pengalaman yang sungguh menggetirkan, pengalaman hidup selama 17 tahun di Cairo cukup untuk membuktikan segala-galanya.

Kisah ketabahan itu tidak berhenti setakat itu sahaja, ummi dikhabarkan sendiri oleh auntie Fatima yang beliau sedang menderita penyakit kanser thyroid, lantas membuatkan ziarah kami pada malam itu menjadi sungguh bermakna sekali. Memandangkan kami adalah lelaki yang juga merupakan ajbani, sudah pasti kami tidak dapat bersembang dan mengetahui dengan lebih mendalam tentang penyakit yang sedang dihadapinya. Maka ummi memberi cadangan kepada saya supaya mencadangkan kepada pelajar-pelajar perempuan Malaysia yang berada di Mesir untuk turun padang menziarahinya. Cadangan ini telah pun saya utarakan kepada Ustaz Os, dan juga Ustaz Bazli yang merupakan ahli jawatan kuasa badan kebajikan anak-anak Selangor Mesir, pastinya saya masih menanti jawapan yang positif.


Mungkin jika ada sahaja di antara pembaca yang telah pun memenuhi syarat-syarat tersebut, apa salahnya jika sama-sama menunaikan hak tanggung jawab kita sesama saudara semuslim. Sebagai seorang yang pernah disuluhi cahaya oleh muslimah Malaysia, pasti kehadiran mereka ketika jiwa sedang menderita akan memberikan makna yang sungguh menggugah sukma, cukuplah sahaja jikalau kita sendiri berada di tempatnya. Semoga Allah memudahkan urusan auntie Fatima, Allah yubarik fiiha!

Bersama auntie Fatima dan anak bongsunya Abdullah

Thursday, May 14, 2009

CATATAN SI MUSAFIR: MENCARI HIKMAH DI SEBALIK PENGEMBARAAN

Wajah ceria sahabat seperjuangan, Bilal Jailani berseri-seri menyambut kehadiran diri di bumi yang sungguh bertuah ini. Risau juga saya ketika berada di dalam kapal terbang, saya sudah pun memberitahu Bilal yang kapal terbang akan mendarat di Cairo International Airport pada pukul 6.50 pagi sepertimana yang tercatat di dalam jadual. Namun ketentuan itu semuanya kerja Tuhan. Kapal terbang MS 969 daripada syarikat penerbangan Egypt Air itu mencecahkan rodanya di bumi padang pasir hanya tepat pada jam 7.30 pagi. Saya terus gelisah, sampai dah lah lewat 40 minit, mana dengan nak tunggu begnya lagi. Saya risau jikalau Bilal tidak sanggup untuk menunggu saya dalam tempoh yang begitu lama memandangkan beliau sedang menghadapi gelombang peperiksaan akhir. Bagaimana mungkin saya akan membawa diri? Amri fillah, tawakkal sahaja jalannya!

Secara peribadinya, saya telah jatuh cinta ‘pandang pertama’ mendengar sahaja alunan lagu ‘Hikmah Kembara’ dendangan Mirwana menyinggah di telinga. Apa ada pada Hikmah Kembara? Ya, jawapan yang pertama sekali saya akan berikan ialah rentak atau pun senilagu muziknya yang sangat indah dan bersahaja. Namun yang paling utama sekali ialah seni katanya. Sekali dengar mungkin agak mudah tanpa bait-bait yang sangat berbunga, namun isinya sangat mendalam. Isinya sarat dengan satu tuntutan daripada Tuhan ke atas hamba-Nya untuk berjalan di atas muka bumi ini. Tuhan bukan sahaja menyuruh kita melakukan ibadah khusus seperti solat dan berpuasa. Tapi tuntutan daripada Tuhan sebenarnya lebih daripada itu, dan tentunya tuntutan itu hanyalah kepada hamba-Nya yang tahu berfikir.

“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.”

(Al-Haj:46)

Saranan Tuhan untuk berjalan bukanlah semata-mata umpama saranan seorang ibu menyuruh anaknya membeli ayam di pasar, dan juga saranan Tuhan bukanlah semata-mata hanya untuk mengisi fitrah manusia yang suka berjalan-jalan tak tentu hala. Tidaklah Allah mejadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Maka saranan Allah itu adalah suatu saranan supaya si musafir itu dapat menambahkan keyakinannya lagi dalam menghangatkan lagi cintanya kepada Yang Maha Esa. Daripada sebuah cinta yang biasa kepada sebuah cinta yang tiada tolok bandingannya, sehingga mungkin sahaja makhluk-makhluk lain berasa cemburu melihat makhluk dan Tuhan sedang hangat berasmara. Seorang insan yang mahu menghangatkan lagi cintanya kepada kekasihnya, pasti dia akan berusaha untuk mengamati dahulu hasil-hasil ciptaan kekasihnya. Biliknya bagaimana, kemas atau seperti rimba? Pakaiannya bagaimana? Tulisannya bagaimana? Semuanya bagaimana? Rugilah kita jikalau dengan kekasih dunia kita mampu menghayati segala-galanya lebih daripada cinta kita kepada kekasih yang abadi.

“Kami tidak mengutuskan sebelum kamu, melainkan orang laki-laki yang kami berikan wahyu kepadanya di antara penduduk negeri. Maka tidakkah mereka berpergian di muka bumi lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka (yang mendustakan rasul) dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baih bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memikirkannya?”

(Yusuf:109)

Saya sering teringat kata-kata Ustaz Shahrul Nizam ketika belajar di Klang dahulu. Pernah sahaja ustaz itu bertanya kepada seorang anak muridnya,

“Mengapa mahu ke Mesir?”

Lantas anak murid itu menjawab,

“Mahu menjadi orang yang baik ustaz, bukankah Mesir itu merupakan bumi anbiya’?”

“Ya benar, Mesir itu memanglah bumi anbiya’, tapi anta kena ingat, kat Mesir itu juga ada fir’aun.”

Terkedu anak murid itu serba salah. Kemudian anak murid itu menjawab,

“Kalau macam itu ana pergi Mekah je lah, Nabi kan berasal dari situ dahulu?”

Ustaz pun tersenyum, “Benar, tapi jangan lupa yang Abu Jahal dan Abu Lahab pun berasal daripada situ.”

Saya ketawa terbahak-bahak mendengar ceramah Ustaz Shahrul Nizam tapi sungguh ceramah itu mengajak saya berfikir. Jadi untuk tujuan apa kita bermusafir jauh-jauh begini lagi-lagi kepada mereka yang pergi untuk duduk menuntut ilmu di sana?

“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang, benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal (ulul al-bab).(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Rabb kami, tiadalah Engkau menciptakan (segala) ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau maka peliharalah kami daripada seksa neraka.”

(Ali Imran:190-191)

Bilal terus menyambut beg roda saya di samping Thaaqhib berkejar mengambil kereta Matrix yang terletak di tempat letak kereta. Alhamdulillah, kini kaki saya secara rasminya sudah pun berada di atas Ardhul Kinanah ini, sebuah bumi yang mempunyai sejarah yang sangat istimewa sekali. Anda boleh buka surah al-Qasas sebagai dalilnya. Subhanallah, tempat inilah juga tempat yang pernah menjadi idaman hati untuk menyambungkan ilmu pelengkap diri, tapi plot drama Illahi itu sentiasa memberi kesan yang berbirat di hati, sudah tentu hanya kepada mereka yang tahu menggunakan akal mereka sahaja. Rugilah saya jikalau perjalanan yang mahal ini hanya diiringi dengan gelak tawa gurau senda semata-semata. Biarlah pengembaraan ini membawa suatu kehangatan yang baru dalam jiwa saya, dan pasti jiwa anda juga, insya Allah…



p/s: Sekalung penghargaan kepada akhi Dhany, akhi Auzan, akhi Moja, akhi Azree, akhi Sani dan akhi Umair yang sudi meraikan pemergianku ke angkasa, ketahuilah bahawa hamba amat menghargainya