Friday, April 16, 2010

Menghayati Tarbiyah Dalam Segenap Aspek Kehidupan

Saya telah mengenali perkataan tarbiyah sejak saya masih di bangku sekolah rendah. Namun, perkataan itu mula menjadi sangat signifikan dalam kehidupan saya ketika berada di menengah atas. Tidak hairan kerana perkataan tersebut sentiasa dilaung-laungkan oleh abang-abang senior serta para ustaz dan ustazah ketika itu.

Maka persoalan yang timbul, apakah sebenarnya erti tarbiyah itu? Istilah tarbiyah yang berasal daripada bahasa Arab ini sudah banyak kali didefinisikan oleh para tokoh yang pelbagai dalam kitab masing-masing. Menulis berdasarkan pengalaman, kesimpulan yang saya peroleh bahawa tarbiyah ialah sebuah proses penterjemahan ilmu yang diperoleh kepada amal. Sudah tentu ilmu dan amal yang dimaksudkan di sini ialah ilmu dan amal yang soleh.

Oleh kerana itu, pemahaman bahawa tarbiyah hanyalah sebuah proses pemindahan ilmu semata-mata daripada individu kepada individu adalah tidak tepat, malah akan menyebabkan individu tersebut salah faham akan hakikat tarbiyah yang sebenar. Hal ini kerana output daripada menyertai proses tarbiyah ialah amal. Tanpa lahirnya sebuah amal, proses tarbiyah boleh dikatakan masih belum berlaku atau pun jika sudah belaku, ianya masih belum berjaya.

Sebagai contoh, seseorang mendapat ilmu daripada pembacaan kitab bahawa solat lima waktu adalah wajib. Maka tarbiyahlah yang akan menjadikan seseorang tersebut melaksanakan solat lima waktu tersebut seperti yang telah diketahuinya. Tanpa melalui proses tarbiyah, seseorang itu hanya mengetahui hakikat kewajipan solat lima waktu, tetapi tidak mampu untuk mengamalkannya.

Maka janganlah kita terkejut atau buat-buat terkejut apabila kita berjumpa dengan seseorang yang mempelajari pengajian Islam secara formal seperti syariah, usuluddin dan Quran dan hadis tetapi seperti tidak melaksanakan apa yang telah mereka pelajari. Bahkan kadang-kadang lebih teruk daripada golongan manusia yang tidak pernah didedahkan dengan pendidikan Islam secara formal. Terdapat seorang rakan sekelas perempuan beraliran syariah tersipu-sipu menyembunyikan muka apabila terserempak dengan saya di KL Sentral kerana memakai pakaian yang kurang sempurna daripada pandangan syariah. Kemudian meminta saya supaya tidak menceritakan hal ini kepada orang lain. Saya hanya menggeleng sahaja. Bukankah semester pertama lagi pelajar undang-undang aliran syariah sudah didedahkan dengan isu aurat dalam subjek Ayatul Ahkam wa ahadisatahu?

Cerita di atas itu sudah cukup memberi ibrah bahawa ilmu semata-mata tidak cukup untuk mengubah hidup kita menjadi lebih baik, tetapi perubahan tersebut memerlukan kepada satu proses penterjemahan ilmu kepada amal iaitu proses tarbiyah. Generasi sahabat merupakan satu generasi yang sangat hebat (Syed Qutb menggelarkan sahabat sebagai jailul fareed iaitu generasi yang unik dalam bukunya Ma’alim fit Tareeq) kerana mereka telah mengalami satu proses pentarbiyahan yang sangat hebat daripada al-Quran dan Rasulullah. Ilmu mereka mungkinlah tidak sehebat ilmu generasi kita yang mempunyai master, PhD, Profesor dan sebagainya. Tetapi ilmu mereka yang sedikit itu telah berjaya mereka terjemahkan kepada amal.

Maka persoalan yang keduanya pula ialah, apakah proses yang dinamakan tarbiyah itu? Proses tarbiyah itu sangat luas. Ianya mlingkupi seluruh aspek kehidupan kita. Hal ini kerana seluruh kehidupan kita memerlukan tarbiyah untuk bergerak maju. Saya kadang-kadang berasa rimas dengan sesetengah orang yang cuba mengasingkan tarbiyah dan aktivisme. Tarbiyah dan aktivisme bukanlah perkara yang berbeza, malah kedua-duanya bergerak selari. Mengikuti pengajian ilmu, daurah dan ta’lim sememangnya merupakan elemen penting dalam tarbiyah, tetapi tarbiyah bukanlah hanya terbatas kepada aktiviti-aktiviti kerohanian seperti itu sahaja.

Atas alasan tersebut, saya mengatakan bahawa menjadi seorang AJK di dalam sebuah program juga adalah tarbiyah. Kerana menjadi AJK itulah yang akan mendidik seseorang untuk menterjemahkan segala ilmu yang telah diperoleh daripada ta’lim, daurah dan sebagainya. Jikalau sepanjang dia menjadi AJK, dia gagal untuk menahan sabar, masih mengumpat, mencerca orang lain, tidak berdisplin, tidak terurus kerja dan sebagainya, maka jelas bahawa segala input yang telah diperolehinya sebelum ini telah gagal untuk dipraktikkan. Hal ini sekali lagi jelas menunjukkan bahawa ilmu sahaja tidak cukup, tetapi perlu dibuktikan dengan amal dan prosesnya tak lain dan tak bukan ialah tarbiyah.

Saya ulang sekali lagi, tarbiyah itu sangat luas. Menyertai usrah adalah tarbiyah, menyertai pengajian Islam adalah tarbiyah, berzikir adalah tarbiyah, bangun qiyamullail adalah tarbiyah, menjadi pelajar universiti adalah tarbiyah, menyiapkan assignment daripada pensyarah adalah tarbiyah, menyertai perkhemahan adalah tarbiyah, menjadi pengerusi majlis adalah tarbiyah, menjadi pimpinan organisasi adalah tarbiyah, menjadi ahli biasa dalam organisasi adalah tarbiyah, menjadi Kem Komanden adalah tarbiyah, menjadi AJK teknikal adalah tarbiyah, mengemas rumah adalah tarbiyah, membawa kenderaan adalah tarbiyah, menjadi penceramah adalah tarbiyah, bersukan adalah tarbiyah, menulis penulisan ilmiah atau karya kreatif adalah tarbiyah, menjadi suami atau isteri adalah tarbiyah, menyertai demonstrasi adalah tarbiyah dan banyak lagi yang masih boleh disenaraikan.

Hal ini kerana semua perkara yang saya sebutkan di atas akan menterjemahkan ilmu yang diperoleh dalam kelas atau melalui pembacaan kepada amal. Maka mereka yang terlepas pandang bahawa setiap aktiviti ini adalah tarbiyah dengan mengecilkan skop tarbiyah kepada pengajian ilmu semata-mata adalah golongan yang syok sendiri seolah-olah mereka sudah ditarbiyah. Maka apabila sampai ke medan amal, mereka akan terumbang-ambing lantas hilang ditiupi awan. Sudah tentu, tarbiyah yang paling besar sekali ialah tarbiyah melaui Jihad Qital kerana ia merupakan tarbiyah antara hidup atau mati. Adakah mungkin para sahabah dan mujahidin mampu bergerak ke medan Qital jikalau tarbiyah yang diperolehnya hanyalah tarbiyah melalui program pengisian ilmu dan pembacaan buku sahaja tanpa mengikuti tarbiyah latihan berbentuk fizikal?

Kesimpulannya, ilmu sahaja tidak memadai untuk mengubah diri. Ia memerlukan satu proses yang konsisten dalam melakukan perubahan tersebut yang dikenali sebagai tarbiyah. Tarbiyah pula tidaklah sempit sifatnya, tetapi seluruh kehidupan kita adalah tarbiyah, dengan syarat kita memahami apakah sebenarnya objektif di sebalik setiap apa yang kita alami. Maka, benarkah kita jikalau kita menganggap yang kita tidak memerlukan tarbiyah lagi?


Wallahu a’lam




Nasyid juga boleh dikira sebagai tarbiyah bukan?








Tuesday, March 9, 2010

Salju Dalam Kerinduan: Kisah Puitis Impian Seorang Anak Muda

Suatu ketika di hadapan Istana Nottingham, England


Sudah agak lama saya tidak mengemas kini blog, bingung juga mahu menulis apa di tengah-tengah kemelut negara yang sangat dahsyatnya ini. Sambil membelek-belek surat khabar di dalam perpustakaan, berita tentang keputusan SPM dan STPM yang akan diumumkan pada 11 Mac 2010 menarik perhatian saya. Jari saya girang membelai janggut, mungkin saya patut berkongsi dengan adik-adik yang masih di bangku sekolah tentang sesuatu. Terutamanya untuk mereka yang bakal meninggalkan alam persekolahan. Ketika itulah ‘Salju dalam kerinduan ‘ kembali muncul di minda.


‘Salju dalam kerinduan’ merupakan satu-satunya karya kreatif saya yang pernah tersiar dalam media tanah air. Sungguh saya tidak menyangka bahawa cerpen taruhan pertama saya untuk bersaing di arus media itu telah pun berjaya diterbitkan oleh Majalah Dewan Sastera (Sisipan Tunas Cipta) edisi September 2008 selepas hampir setengah tahun karya saya itu dihantar. Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak majalah kerana sudi untuk menerbitkannya. Walaupun hanya itu sahajalah karya saya yang pernah tersiar, tetapi cerpen tersebutlah yang terus menjadi sumber inspirasi saya untuk terus bergelumang di dalam dunia penulisan sastera. Cerpen tersebut jugalah yang terus melontarkan kata-kata semangat kepada saya bahawa saya memang boleh menulis dan saya bersedia untuk menyumbang kepada masyarakat. Semoga Allah mengabulkan impian hamba-Nya ini. (Alhamdulillah, cerpen ‘Melangkah sendirian’ telah pun menyusuli.)


Bercerita tentang ‘Salju dalam kerinduan’, cerpen ini mengisahkan tentang impian Ikhwan, seorang pelajar sekolah menengah untuk melanjutkan pelajarannya di sebuah negara yang sangat diidam-idamkan dari kecil iaitu England. Hal ini memandangkan Ikhwan pernah dibesarkan di Enland ketika ibu-bapanya melanjutkan pelajaran di situ suatu ketika dahulu. Atas keazaman dalam mengejar impian, Ikhwan telah berusaha belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya masuk ke sebuah sekolah berasrama penuh (SBP). Malah Ikhwan juga merupakan antara pimpinan pelajar ketika di sekolah dahulu. Namun, impian itu hancur berkecai setelah keputusan SPMnya memberikan kesan yan amat negatif terhadap cita-citanya itu. Ikhwan yang tidak pernah mengenal erti kegagalan dalam hidup berasa amat kecewa. Air mata tidak berhenti berlinangan ketika mengambil slip peperiksaan di dewan sekolah. Malah keadaannya semakin teruk apabila Ikhwan hanya mengurungkan dirinya di dalam rumah semenjak hari keputusan SPM diumumkan.


Suatu hari, Ikhwan mengajak sahabat baiknya Iskandar bersiar-siar di ibu kota sambil mengisi parahnya jiwa ketika itu . Iskandar cuba mencari jalan penyelesaian, tetapi Ikhwan tetap bersifat keanak-anakan. Rindunya terhadap indahnya salju ketika di England dahulu telah mengatasi segala-galanya. Tiba-tiba Ikhwan dan Iskandar terserempak dengan Cikgu Maryam di KL Sentral. Perjumpaan itu sangat tidak dijangkakan. Ikhwan selama ini cuba mengelakkan diri daripada menghubungi Cikgu Maryam kerana merasakan dirinya telah gagal dalam membalas kepercayaan yang telah diamanahkan Cikgu Maryam kepada dirinya selama ini. Tanpa disedari, Cikgu Maryam juga mempunyai tanggapan yang sama. Perasaan Cikgu Maryam itu telah dinukilkan seperti berikut,


“Hari Ikhwan ambil keputusan SPM itu, cikgu sudah rasa ada sesuatu yang tak baik akan berlaku kepada Ikhwan. Ikhwan pun tahu, cikgu-cikgu semua sudah tengok keputusan SPM kamu sehari sebelum kamu mengambilnya. Masa itulah cikgu ambil peluang tengok keputusan Ikhwan. Sebaik-baik cikgu tengok, cikgu pun rasa sebak. Apatah lagi Ikhwan, tuan empunya diri. Ketika cikgu sedang bersembang dengan kawan-kawan kamu yang baru saja mengambil keputusan itu di luar dewan, tiba-tiba Halim datang beritahu cikgu yang Ikhwan menangis. Cikgu memang dah agak itu yang akan berlaku. Sebelum itu Cikgu memang nampak ikhwan di luar dewan, tapi cikgu tak berani nak tegur. Cikgu tahu yang Ikhwan sedang tidak tenang, cikgu sebenarnya rasa bersalah, nak tegur pun rasa bersalah, tak nak tegur pun rasa bersalah. Yang hanya mampu Cikgu lakukan menadah tangan kepada Allah moga-moga Ikhwan tabah menerima keputusan tersebut.”


(Majalah Dewan Sastera, edisi September 2008, muka surat 59)


Kata-kata CIkgu Maryam tersebut sangat menyentuh perasaan Ikhwan. Malah Ikhwan berasa sangat bersyukur kerana ditakdirkan Allah bertemu dengan CIkgu Maryam pada waktu yang genting itu. Nasihat yang diberi Cikgu Maryam terus menerus memberikan inspirasi baru kepadanya. Cerpen ini diakhiri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika Ikhwan menghantar Iskandar menyambungkan pelajaran di Ireland. Ikhwan dan Iskandar berjanji ketika itu bahawa walau apa pun yang berlaku, Allah dan Muhammad tetap menjadi tujuan utama. Tujuan suci itulah yang hakikatnya memberikan makna sebuah kehidupan.


Mesej utama yang ingin saya sampaikan melalui cerpen ini adalah tentang impian seorang anak muda. Saya membawa mesej ini kerana mesej itu tersebut sangat memberi kesan kepada diri saya sepanjang pengamatan saya dalam mengharungi kehidupan. Malah telah banyak kali saya berjumpa dengan kes-kes seperti Ikhwan ini sama ada secara langsung atau tidak khususnya yang melibatkan pelajar sekolah berasrama penuh atau MRSM. Kekecewaan yang sangat menghiris itu hampir-hampir sahaja menamatkan erti perjuangan seorang anak muda di muka bumi ini. Semuanya kerana sesuatu perkara abstrak yang dinamakan sebagai impian.


Oleh itu, suka saya ingatkan kepada adik-adik yang bakal mengambil keputusan tersebut supaya lapangkan jiwa dan hati dalam menerima apa saja keputusan yang bakal diperoleh. Setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya. Apa yang ketika ini berlaku di dunia tidak sama dengan apa yang sedang dikarang oleh langit. Buka al-Quran, surah al-Kahfi dan bacalah daripada ayat 60 sehingga 82 sehingga ianya menjadi sebati dalam jiwa. Allah menceritakan kepada kita tentang betapa besarnya perbezaan pandangan dunia dengan pandangan langit. Bukankah Allah itu maha mengetahui? Tepuk dada, tanya Iman.



Nota:

Tidak dilupakan juga kepada bakal penerima keputusan SPM daripada kalangan sahabat-sahabat MPR 2009 yang sedang tidak lena tidur, semoga sedia menerima apa sahaja plot yang telah disediakan Tuhan kepada kita. Kepada yang sudah berjanji, sila tunaikan janji tersebut ya.


Sunday, December 27, 2009

Melangkah Sendirian:Terima Kasih MPR 2009


Bergambar kenang-kenangan bersama Sasterawan Negara Dato Dr Anwar Ridhwan


Saya selalu menggumam di hati yang Tuhan sentiasa mempunyai rancangan-Nya yang tersendiri. Mendapat tawaran untuk menyertai program elit anjuran Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja (PURNAMA) di bawah kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan suatu perasaan yang alangkah indah jikalau ianya mampu diluahkan.

Seperti yang pernah saya sampaikan ketika sesi taaruf (yang telah mengambil masa yang sangat panjang, maaf), saya dilahirkan sangat membenci novel atau cerpen. Mungkin kerana diri yang sering terdedah dengan karya-karya pop yang hanya reti membawa tema yang tidak pernah bertujuan untuk mendidik hati. Namun, usia di tingkatan 4 dan 5 telah sedikit sebanyak menerujakan saya apabila mula didedahkan dengan karya-karya yang sarat dengan unsur intelektual. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Faisal Tehrani merupakan tokoh yang sangat dikagumi. Bermula ketika itu, saya mula memberanikan diri untuk menyelongkar lebih jauh akan dunia sastera yang sangat indah ini. Bukankah Allah menyukai semua perkara yang indah?

Pengalaman mengikuti MInggu Penulis Remaja 2009 (MPR 2009) merupakan pengalaman yang menerujakan. Sebagai seorang anak muda yang masih bertatih dalam dunia sastera, mendapat bimbingan daripada penulis-penulis mapan yang nama mereka sudah melayang-layang sememangnya menjadi impian. Hati sudah mula tertawan bermula sahaja dengan sesi perkongsian khas bersama Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, diikuti dengan ceramah-ceramah khas genre cerpen dan puisi oleh Profesor Rahman Shaari, Tuan Nurizan Raja Yunus, sesi bersama editor Dewan Sastera iaitu Puan Rozninah Abd. Azib dan ceramah tentang penerbitan karya remaja oleh Encik Abd Rahim Omar. Ketika ini, otak terasa sangat sarat dengan ilmu dan pengetahuan yang tidak pernah diketahui sebelum ini.

Selepas teori, praktikalnya pula. Bimbingan khas daripada para fasilitator yang sudah mapan sungguh merancakkan jiwa. Itulah pertama kali saya dapat bersemuka dengan penulis dunia sastera wanita yang sangat terkenal iaitu Bonda Zaharah Nawawi. Dirinya sudah berumur, namun kecekalan untuk mendidik anak bangsa tidak pernah diabaikan. Sangat kagum melihat novel ‘Anugerah’ tulisannya yang lebih tebal daripada Kamus Dewan. Bayangkan hati anda apabila sebaik sahaja selesai anda membacakan cerpen anda, Bonda Zaharah Nawawi tersenyum sambil berkata ‘Cantik!’. Siapa yang tidak gembira mendapat pengiktirafan daripada seorang penulis mapan yang telah memenangi pelbagai anugerah termasuk Anugerah S.E.A Write pada tahun 1996.

Walaupun saya bukanlah peminat genre puisi, tapi segala pengetahuan yang saya peroleh daripada Haji Shamsudin Othman tak pernah saya abaikan. Gaya pemuisi ini sangat sempoi dan selamba tetapi kata-katanya amat kuat terpahat di jiwa. Malu sungguh saya apabila hanya memperoleh satu sahaja sinonim untuk perkataan ‘potong’ sementara rakan-rakan yang lain berjaya menjumpai 12 perkataan. Puan Salmiah Ismail juga merupakan fasilitator untuk genre puisi. Pandangannya sangat kritis dan teliti. Setiap metafora, simile dan pesonafikasi yang timbul di dalam setiap karya peserta dibedah benar-benar. Satu pun tidak terlepas.


Di samping itu, pengalaman bersama kakak Khairunnasriah Abdul Salam sangat mengesankan. Beliau yang lebih mesra dipanggil sebagai Kak Nas mula saya kenali sebagai tutor subjek Constitutional Law 1 di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim. Segala ilmu dan teknik penulisan cerpen dan novel yang dicurahkan berdasarkan dua karya cerpen beliau, ‘Biar Zaitun Terus Rimbun’ dan ‘Pencinta Putih Kelir, Pewaris Merah Muleta’ sangat efektif. Peringatan beliau akan kecetekan ilmu sastera yang kami miliki sangat menginsafkan. Benarlah kata pujangga yang mengatakan semakin banyak ilmu yang kita perolehi, semakin kita menyedari akan kejahilan diri.

Walau bagaimanapun, program ini pasti tidak akan indah dan meriah tanpa rakan-rakan seperjuangan yang sekarang sudah pun membebani amanah sebagai mantan MPR 2009. 27 remaja yang selama ini tidak pernah bertemu telah berkampung selama seminggu di Golden Straits Villas Beach Resort, Port Dickson daripada 19-25 Disember atas dasar minat dan perjuangan yang satu. Bermula dengan pertemuan bersama Syukri Sapuan dan Amirul Hamudin di hadapan bas sehinggalah kepada rakan-rakan yang lain, memori tersebut pasti tidak dapat dilupakan. Teringat malam di mana otak sedang penat lelah memerah ilham, satu per satu ahli kamar 12-3 tumbang perlahan-lahan. Ariff Hafizi telah lama tidak kelihatan, Muziru pula sudah lelap meniarap di hadapan laptop, Aedi Asri yang cuba bertahan juga tak gah menyengkang mata. Akhirnya saya juga rebah di atas sofa yang terletak di ruang tamu apartmen, semuanya kerana demi menyiapkan satu karya tugasan.

Lautan penghargaan kepada semua rakan-rakan yang sudi berkongsi proses kreatif masing-masing, sesungguhnya seribu pengajaran dan pengalaman yang telah saya belajar daripada anda semua. Wajah-wajah murni anda semua pasti tidak akan saya lupakan. Semoga kita dapat bersama-sama lagi bertemu di arena dunia penulisan yang lebih indah. Tak lupa juga kepada para fasilitator, penceramah jemputan dan yang paling berkerja keras iaitu krew MPR 2009 yang diterajui oleh Kak Zeti sepasukan. Celoteh Encik Salleh dan Kak Mah masih segar terngiang-ngiang.

Terima kasih juga kepada MPR 2009 kerana dengannya saya berjaya menyiapkan karya tugasan genre cerpen berjudul ‘Melangkah Sendirian’. Sebuah cerpen yang mengangkat tema hak asasi kemanusiaan berlatarkan gelanggang bola sepak telah banyak membantu saya meraih peserta terbaik MPR 2009 genre cerpen. Semoga pihak DBP dapat merealisasikan impian kami supaya segala hasil karya yang dihasilkan sewaktu bengkel dapat dikumpulkan dalam sebuah antologi. Semoga status saya dan rakan-rakan yang sudah bergelar mantan MPR akan menyemarakkan semangat kami semua untuk terus menghiasi dunia penulisan sastera tanah air.

Terima Kasih MPR 2009!


Sunday, December 13, 2009

Penghormatan Akhir kepada Ayahanda Ustaz Abdullah Salleh




Khamis lepas, saya mendapat mesej daripada rakan sekolah saya dahulu, saudara Irfan Mohd Noor memberi khabar bahawa ayahanda Ustaz Abdullah Salleh bin Sulaiman telah pun menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pagi tersebut.


Saya seperti berhenti bernafas untuk seketika, memang sudah agak lama saya tidak pernah bersua dengan bekas Pengetua Sekolah Agama Menengah Hulu Langat ini. Mungkin sahaja jika beliau sudah pun tidak mampu untk mengecam saya lagi.


Ustaz Abdullah Salleh yang lebih mesra dikenali oleh pelajar-pelajar Samten ketika itu dengan gelaran ‘ayahanda’ ialah seorang Pengetua yang sangat dihormati dan disayangi oleh pelbagai lapisan dan kelompok pelajar serta guru. Malah sahabat-sahabat saya yang sedikit nakal ketika itu juga sangat menghormati beliau. Sememangnya beliau mempunyai karakter yang sangat peramah lagi mesra, tiada sebab untuk mempertikaikan gelaran ayahanda yang diberikan kepadanya.


Ayahanda memulakan khidmat sebagai pengetua Samten ketika saya sudah pun memasuki Samten sebagai pelajar tingkatan satu. Tempoh perkhidmatannya di Samten pula tamat ketika saya berada di awal tingkatan empat selepas. Pada tahu yang sama juga, saya berpindah ke sebuah sekolah SBP dalam melanjutkan pelajaran saya.


Secara peribadi, perkhidmatannya sepanjang tempoh tiga tahun sebagai Pengetua Samten sangat memberansangkan. Beliau adalah seorang ustaz yang sangat berilmu dan wara’. Beliau juga sangat mesra dengan pelajar yang menyebabkan setiap pelajar merasakan diri masing-masing disayangi. Beliau rajin solat berjemaah serta member tazkirah kepada pelajar-pelajar asrama di sekolah. Beliau juga banyak melakukan perubahan terhadap sekolah dalam memastikan sekolah mampu untuk bersaing dengan hebat terutamanya dalam PMR. Hal ini terbukti apabila jumlah pelajar yang mendapat semua A dalam PMR mencecah kepada lebih 30 orang yang di mana sebelum kehadirannya bilangan tersebut amat sukar untuk melepasi angka sepuluh. Selain kemajuan daripada sudut akademik, beliau juga fokus dalam pembaharuan landskap sekolah sehingga mampu menarik perhatian krew telemovie ‘See You di IPT’ yang dibintangi oleh Ngasrizal Ngasri dan Kumpulan Nasyid UNIC untuk berlakon di situ.


Pernah suatu ketika saya sedang bertanyakan Ustaz Dzailqamar tentang maksud maf’ul bih, Ayahanda yang kebetulan mendengar pertanyaan saya itu tiba-tiba datang menghampiri saya lantas memukul sedikit saya di belakang lantas berkata,

“entalah maf’ul bih!”

Saya yang terkial-kial dengan perbuatan Ayahanda itu akhirnya mengerti bahawa apa yang dimaksudkan ayahanda sebagai ma’ful bih itu ialah orang yang telah dipukul (objek) yang menunjukkan saya kerana telah dipukul oleh Ayahanda yang merupakan fa’il (pelaku) ketika itu.


Kali terakhir saya bertemu dengan ayahanda ialah ketika di awal tingkatan empat yang mana ketika itu saya sedang menunggu tawaran kemasukan ke MRSM dan SBP. Saya masih ingat yang ketika itu kami sedang jalan berdua berhadapan pejabat sekolah, kata Ayahanda,

“Marwan pun nak pindah sekolah ke lepas ni?”

Saya terdiam sebentar. Memang menjadi kebiasaan untuk pelajar-pelajar cemerlang PMR sekolah tersebut untuk berpindah ke sekolah-sekolah terkenal yang lain khususnya MRSM dan SBP, atau paling kurang sekalipun ke Sekolah Agama Menengah Bestari.

“Tak yahlah pindah Marwan, kita sama-sama bantu sekolah ini jadi cemerlang.”

Saya hanya tersenyum.


Namun, perancangan Allah mengatasi segala-galanya, Ayahanda diarahkan untu berpindah ke sebuah Sekolah Agama di Sabak Bernam. Hal ini menyebabkan saya mampu membuat keputusan tanpa rasa bersalah kepada insan yang sangat berjasa ini untuk berpindah ke KISAS yang telah pun menjadi impian saya sejak kecil dahulu.


Semoga segala kebaikan beliau yang diukirkan di sini akan menjadi saksi di hadapan Allah yang Maha Pengampun bahawa sesungguhnya Ayahanda telah melakukan amalan yang soleh sepanjang beliau menggalas beratnya kalimah syahadah di muka bumi ini.


Wallahu a’lam.




Sebahagian daripada pelajar-pelajar cemerlang Samten didikan Ayahanda.
Kini semuanya sedang gigih berkelana menuntut ilmu di dalam dan luar negara








Thursday, November 26, 2009

Pengumuman Keputusan Petisyen Prof. Dr. Abdul Aziz Bari

Assalamualaykum...

Khas kepada sahabat-sahabat seangkatan di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim.

Ingin dimaklumkan bahawa petisyen yang dihantar ke Public Law Department agar Prof. Dr. Abdul Aziz Bari diberi ruang untuk mengajar subjek Constitutional Law 2 pada semester 2 sesi 2009/2010 bertarikh 28 Oktober 2009 telah pun diterima dengan lancarnya. Jadual baru untuk subjek Constitutional Law 2 bagi semester 2 sesi 2009/2010 boleh dirujuk di course schedule di laman web rasmi UIAM. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua sahabat-sahabat yang terlibat secara langsung dalam petisyen ini melalui penurunan tanda tangan anda (62 tanda tangan semuanya). Tidak dilupakan juga kepada brother Syameer Saw yang bertungkus lumus mengumpulkan tanda tangan daripada sahabat-sahabat semua walaupun dalam kesibukan peperiksaan akhir semester. Terima kasih juga kepada pihak Public Law Department yang sudi mendengar suara sekelompok pelajar Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim dengan penuh terbuka. Di atas kesempatan ini, semoga sahabat-sahabat semua tidak akan melepaskan peluangkan sekali lagi untuk belajar bersama-sama pakar perlembagaan nombor 1 di Malaysia pada sem akan datang (lebih menggembirakan apabila melihat jadual kelas Prof. tidak terletak pada jam 8.00 pagi, alhamdulillah).



Marwan bin Abdullah
Wakil Pelajar untuk Petisyen Prof. Dr. Abdul Aziz Bari



p/s: Eid al-Adha Mubarak kepada semua sahabat-sahabat dan pelawat blog ini. Semoga semua dapat menghayati betapa besarnya nilai pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail kepada Tuhan.