Showing posts with label Raya. Show all posts
Showing posts with label Raya. Show all posts

Monday, September 13, 2010

Anugerah 10 Mesej Raya Pilihan

Budaya mengirim mesej Raya antara satu sama lain sempena sambutan Hari Raya telah sedikit sebanyak menghiburkan hati kita yang memiliki pelbagai rasa. Di sinilah setiap pengirim berusaha bersungguh-sungguh untuk mengarang satu ucapan yang mampu menggugah jiwa-jiwa yang menerimanya, tak kurang juga yang hanya menggunakan balik mesej-mesej yang diterimanya sebelum ini (Recycle message). Atas dasar itulah, saya telah memilih 10 mesej yang layak untuk diterima anugerah di atas kekreatifitian masing-masing.

Anugerah-anugerahnya ialah:

*(Nama penghantar mesej dirahsiakan untuk menjaga kemaslahatan mereka, hehe)

1- Anugerah Anak Bulan

"Salam Eid Mubarak untuk semua. Semoga dengan berakhirnya Ramadhan, kita menjadi muslim yang lebih beriman, amin. Maaf atas segala kekhilafan yang pernah lahir dari kesilapan diri. Doakan yang baik-baik belaka untuk kami sekeluarga. Sambutlah Syawal dengan penuh kesyukuran."

Ulasan Juri:
Anugerah ini diberikan memandangkan mesej ini adalah mesej Raya yang paling awal sekali sampai di telefon bimbit. Ketika itu, proses melihat anak bulan Syawal pun belum bermula lagi.

2- Anugerah Sungai Nil

Tatkala takbir bergema,
Tandanya tiba 1 Syawal,
Tandanya pergi Ramadhan.

Aku terkenang akan ibu,
Dulunya berkaki dua kini berjalan perlahan berkaki tiga.

Terkenang akan ayahanda,
Dulu serba hitam kini putih lebat di kepala.

Terkenangkan saudara dan keluarga,
Tersenyum melambai kepadaku.

Ayahanda Ibonda,
Aku kembali menjawab gema takbir,
Akan ku pulang ke desa,
Menyusun jari memohon ampun,
Memberi senyuman kepada ayahanda dan ibonda,
Memberi gelak riang kepada kanak dengan 'sampul ajaib'.

Wahai desa tercinta,
Anak kota ingin pulang,
Nantikan Kepulanganku.

"Pulangnya Anak Kota" oleh *** *****

Ulasan Juri:
Anda boleh bayangkan berapa banyak kreditnya yang telah dihabiskan untuk menghantar ucapan yang sepanjang Sungai Nil ini kepada kenalannya.

3- Anugerah Lord Chancellor

"With clean hand has I come, look to intention rather than forms, apology I ask in personam, so that clean is my hands and all my wrongs....'Aid Saeed"

Ulasan Juri:
Lord Chancellor di England pasti akan berasa gembira memperolehi mesej ini yang merupakan gabungan beberapa maxims of Equity dalam sistem perundangan Inggeris. Saya mendoakan agar penghantar mesej ini akan memperolehi A dalam subjek Equity & Trust yang sedang diambilnya sekarang.

4- Anugerah United Nations

"Salam my dear, I would like to extend to you my heartfelt congratulations on the sacred occasion of Eid al-Fitr and with you and your family good health, well-being and success in all your endeavours! Happy Eid!"

Ulsan Juri:
Mesej ini adalah satu-satunya mesej yang diperolehi dari sahabat bukan warganegara Malaysia.

5- Anugerah Jalan-Jalan Cari Makan

"Biar kulit segelap Almond London, asalkan hati sesuci kuih bangkit. Biar iman sekental dodol, jangan senipis rempeyek. Biar jiwa selembut baulu, asalkan akhlak secantik biskut Dahlia. Senyumlah seperti wajik agar lebaran yang disambut lebih bermakna."

Ulasan Juri:
Anda boleh menjumpai sekurang-kurangnya 5 jenis makanan dalam mesej ini.

6- Anugerah Ibrahim Pendek

"S.H.R.A.M.Z. & B."

Ulasan Juri:
Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin. Mudah dan ringkas bukan?

7- Anugerah Pantun Budi Klasik

"Salam, Pulut kuning dalam periuk, enak dimakan bersama rendang. Buang segala yang tidak elok, baik sahaja yang kita kenang. Penuh halaman dengan pelita, buat penyeri di Aidilfitri. Bermaafanlah kita selagi ada, agar tak kesal sesudah mati."

Ulasan Juri:
Mesej ini telah berjaya menyematkan nilai-nilai budi berlatarkan kehidupan Melayu tradisional yang sungguh klasik ketika menyambut Hari Raya.

8- Anugerah Sempoi

"Taip mesej panjang-panjang, bukannya baca pun...hehe2. Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin."

Ulasan Juri:
Jujur sahaja lah kalau malas nak mengarang tu, hehe. (gurau sahaja bang)

9- Anugerah Puitis

"Waktu boleh berlalu dan zaman boleh berganti, tapi persaudaraan dan persahabatan tak boleh pudar. Indah dunia hanya sementara, indah cinta hanya seketika, indah mimpi tak pernah pasti, tapi indahnya persaudaraan akan selalu abadi. Minal Aidil wal Faizin wa kullu aam wa antum bikhair tahun 1430H. Mohon maaf zahir batin, murah rezeki dan selalu dalam lindungan Allah. Amin."

Ulasan Juri:
Ayat yang puitis biasanya mampu menggegarkan jiwa. Cuma pengirim terlupa untuk menyunting tahun 1430H tu, hehe.

10- Anugerah Albert Einstein

"Salam lebaran, selamat hari raya ke-5. Maaf zahir batin ye."

Ulasan Juri:
Mesej ini diterima sempena hari raya ke-5 bersamaan 5 Syawal. Hanya orang yang berfikiran luar biasa sahaja yang akan menghantar mesej yang luar biasa ini.

Sekian, moga terhibur.



*Terima kasih kepada semua yang telah mengirim ucapan Raya kepada saya. Maaf kerana tidak sempat membalas kesemuanya. Ternyata saya memang terhibur.










Monday, September 21, 2009

Pasca Ramadhan: Berdikarilah dalam beribadah


Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar

Ada pendapat yang mengatakan hari raya haruslah disambut dengan penuh kesedihan, bukan bersedih kerana teringatkan kampung halaman, tetapi bersedih kerana telah tamatnya peluang untuk menggadakan ibadah di dalam bulan Ramadhan yang mulia. Pahala sunat digandakan, malam lailatul qadar dihamparkan, semuanya dalam bentuk gandaan, kan wajar untuk kita menangisi pemergiannya?

Benar, dan ada juga pendapat yang mengatakan hari raya ialah hari untuk bergembira. Bergembira menyambut kemenangan setelah berjaya menahan hawa nafsu untuk tempoh yang bukan biasa. Ini juga wajar kerana sememangnya bukanlah satu perkara yang tidak mudah untuk menjaga segala-gala pantang larang ketika berpuasa.

Walau bagaimana pendapat pun, kedua-dua elemen ini adalah wajar dan haruslah ada dalam diri kita, sedih kerana sudah tidak dapat lagi bonus, gembira kerana berjaya melawan arus.


Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar

Bulan Ramadhan memanglah suatu bulan yang sangat istimewa. Ia merupakan hadiah Allah kepada hamba-hamba-Nya yang komited dalam beribadah. Saya cukup gemar dengan analogi yang pernah dibawa oleh saudara Nuh Zuleffendi dalam suatu sesi tazkirah Pre-Ramadhan yang mengumpamakan situasi bulan Ramadhan ini seperti sebuah pasar raya (Jusco) yang menawarkan Hari J-Card (Hari yang khusus untuk pemegang kad keahlian Jusco membeli barangan dengan potongan harga yang lumayan). Jusco itu sendiri diumpamakan seperti bulan Ramadhan, potongan-potongan harga itu pula ibarat pahala-pahala yang lumayan, dan saya ingin tambah (memandangkan saudara Nuh tidak menyebutkan tentang ini) yang pemegang kad keahlian tersebut adalah orang Islam itu sendiri.

‘Eidul Fitri juga hari yang sangat istimewa. Ini adalah hari kemenangan memang tidak disangkalkan lagi. Hadis nabi terang menegaskan bahawa untuk umat Islam, hanya ada dua ‘eid (perayaan) sahaja iaitu ‘Eidul Fitri dan ‘Eidul Adha. Sifu saya ketika di Mesir, Ustaz Hamadah Hussein pernah membuat kenyataan ketika kami sedang berdiskusi yang mengatakan bahawa penggunaan perkataan ‘eid pada tempat-tempat selain yang dinyatakan dalam hadis adalah salah daripada segi konsep seperti penggunaan ‘Eidul Milad (Hari Kelahiran) yang banyak digunakan oleh sesetengah umat Islam dalam meraikan hari kelahiran.


Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar

Apa-apa pun, haruslah diambil sebagai iktibar bahawa bulan Ramadhan ini menuntut kita akhirnya supaya mampu untuk berdikari dalam beribadah. Bulan Ramadhan ini tak salah untuk saya umpamakan sebagai tongkat yang membantu si tua. SIfatnya sebagai penyokong. Tanpanya kita masih boleh lagi berjalan tetapi seperti sahaja rasa kurangnya motivasi. Samalah seperti bulan Ramadhan, ia merupakan hadiah daripada Allah untuk menaikkan motivasi kita dalam terus beribadah dengan harapan bahawa setelah tamatnya tempoh motivasi ini, kita mampulah untuk berdikari dengan amalan kita tersebut.

Maka haruslah menjadi tindakan dan iltizam kita bahawa jikalau ketika dalam Ramadhan, kita memperolehi motivasi pahala yang berganda-ganda dalam melaksanakan amalan sunat, seharusnya kita sudah mampu untuk berdikari selepas meninggalnya bulan Ramadhan. Jikalau ketika dalam Ramadhan, kita memperolehi motivasi lailatul qadar untuk bangun solat malam, seharusnya kita sudah mampu berdikari untuk bangun solat malam selepas meninggalnya bulan Ramadhan. Jikalau ketika dalam bulan Ramadhan, kita memperolehi motivasi untuk meminumkan kehendak nafsu syahawat kita daripada terus bergelora, seharusnya kita sudah mampu untuk berdikari untuk meminimumkan kehendak nafsu syahawat kita selepas meninggalnya bulan Ramadhan.

Inilah seharusnya menjadi resolusi kita sebagai graduan-graduan Ramadhan agar sahaja kita mampu berdikari dalam melaksanakan ibadah.

‘Eid Mubarak ucapan daripada saya kepada semua pembaca-pembaca sekalian. Tolonglah jangan menyambutnya dengan mercun yang boleh meletupkan kepala dan tangan.


Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar walillahil hamd



Kenangan hari raya bersama sahabat-sahabat lama di Al-Amin Bangi



p/s: Maaf kerana penulisan ini hanya mampu dipaparkan sehari selepas ‘Eidul Fitri diraikan di Malaysia.