Sunday, October 11, 2009

Keselamatan Awam dan Isu Larangan Berpudah al-Tantawi



Perkara 11 (1) dalam Perlebagaan Persekutuan Negara (Federal Constitution) kita telah pun memberi kebebasan kepada setiap orang untuk menyatakan keyakinan (profess) serta mengamalkan (practice) apa yang telah dituntut oleh agama. Inilah doktrin yang dikenali sebagai kebebasan beragama (freedom of religion) yang sering diputar belitkan oleh barat sebagai kebebasan untuk tidak mengamalkan agama khususnya apabila melibatkan isu murtad (conversion out of Islam). Maka di atas prinsip doktrin inilah kita dapat melihat setiap agama dalam negara kita dapat diamalkan dengan aman, damai dan harmoni. Kita dapat melihat masjid-masjid dibina dengan pesatnya di samping tidak mengabaikan pembinaan kuil (tidak kisahlah sama ada di seksyen 23 Shah Alam atau di mana sahaja) dan tokong. Kita dapat melihat betapa bebasnya para wanita muslim untuk memakai fesyen tudung yang digemarinya (baca: tudung bulat, tudung tiga segi, tudung Wardina, tudung Waheeda, dan sebagainya) di samping para wanita daripada agama lain bebas untuk memakai sari, cheong sam dan sebagainya tanpa ada paksaan kepada mereka untuk turut serta memakai tudung seperti mana yang telah dituntut oleh Islam. Inilah yang diberi nama sebagai kebebasan beragama, bukanlah sesekali dipanggil kebebasan beragama apabila seseorang wanita muslim mengatakan itu adalah hak dia sama ada mahu memakai tudung atau tidak. Wanita muslim itu ternyata hanya terpengaruh dengan agenda barat yang menafsirkan kebebasan beragama sebagai kebebasan untuk tidak mengamalkan apa yang disuruh oleh agama.


Surat khabar Utusan bertarikh 6 Oktober 2009 telah menyiarkan kenyataan kontroversi syeikh al-Azhar al-Tantawi yang mengatakan mereka akan mengharamkan pemakaian purdah di Universiti al-Azhar atas alasan keselamatan awam (public security). Mana tidak kontroversinya, pelajar perempuan Malaysia yang belajar di al-Azhar sana rata-ratanya memakai purdah, tidak kisahlah sama ada purdah ala ayat-ayat Cinta atau bagaimana sekali bentuknya. Tempias kenyataan syeikh al-Tantawi ini juga terkena pada Malaysia apabila surat khabar yang sama juga bertarikh 8 Oktober menyiarkan kenyataan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyokong tindakan syeikh al-Azhar tersebut malah ditambah lagi yang kemungkinan peraturan tersebut akan diaplikasikan di negeri Kelantan jika ianya terbukti boleh mengancam keselematan awam di negeri tersebut. Mana tidak kontroversinya, bayangkan sahaja berapa ramai perempuan yang merupakan ahli parti yang dipimpinnya itu yang memakai purdah.


Memandang isu ini daripada perspektif undang-undang di negara kita, ianya bukanlah suatu yang asing memandangkan isu perempuan memakai purdah di Malaysia pernah pun dibincang oleh bahagian kehakiman dalam kes Hjh Halimatussaadiah bte Hj Kamaruddin v Public Services Commission, Malaysia & Anor melalui Mahkamah Agung (kini dikenali sebagai Mahkamah Persekutuan) yang dilaporkan pada tahun 1994. Di dalam kes ini, pihak perayu berhujah yang dia mempunyai hak untuk memakai purdah di tempat kerja walaupun dilarang oleh majikannya kerana dia mempunyai hak dalam mengamalkan apa yang dituntut oleh agama (kebebasan beragama) seperti mana yang telah dinyatakan dalam perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan. Walaupun begitu, Mahkamah Agung ketika itu tidak bersetuju dengan hujah yang diberikan oleh pihak perayu. Mahkamah Agung menjelaskan bahawa kebebasan beragama mempunyai had dan limitasi. Kenyataan Mahkamah Agung ini berdasarkan kepada perkara 11(5) yang menyatakan bahawa kebebeasan beragama ini tidak boleh diamalkan jika ianya didapati bertentangan dengan maslahah awam (public order), kesihatan awam (public health) dan moral (morality). Larangan memakai purdah ini terletak di bawah alasan public order atau lebih tepatnya di bawah public security kerana ianya boleh boleh mengancam maslahah orang awam. Sebabnya jelas kerana tidak ada siapa tahu apakah wajah di sebalik si pemakai purdah, boleh sahaja jadi seorang lelaki, boleh sahaja jadi seorang pembunuh bersiri yang dicari-cari, boleh juga menjadi pengebom berani mati. Sama ada anda baru tahu atau pun tidak, inilah status undang-undang memakai purdah yang telah pun diputuskan oleh bahagian kehakiman di negara kita.


Bagaimana pula dengan pandangan syariah tentang hal ini? Apakah syeikh al-Tantawi telah dipengaruhi oleh pemikiran Barat yang cuba memadamkan kebangkitan Islam di muka bumi ini? Mungkinkah syeikh al-Tantawi ini merupakan boneka barat dalam mengelirukan umat Islam? Dalam syariah, isu-isu ini hendaklah dibincangkan melalui disiplin maqasid al-syariah. Doktrin maqasid al-syariah ini adalah sebuah disiplin yang diputuskan oleh para sarjana Islam yang mengatakan bahawa tujuan syariah diturunkan di muka bumi ini ialah untuk menjaga maslahah manusia. Maslahah telah pun dibahagikan oleh para sarjana Islam kepada tiga iaitu Dharuriyyat (Kepentingan), Hajiyyat (keperluan) dan Tahsiniyyat (Kemewahan). Terdapat 5 perkara Dharuriyyat yang menjadi sebab utama shariah diturunkan iaitu untuk menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Jadi menutup aurat terletak di bahagian yang mana? Anda jangan terkejut jika saya mengatakan bahawa maslahah menutup aurat tidak pun diletakkan dalam dharuriyyat atau pun hajiyyat, para sarjana Islam meletakkan maslahah menutup aurat pada turutan maslahah yang terakhir iaitu di bawah payung tahsiniyyat. Jikalau anda tidak percaya, boleh baca karangan Dr Abdul Karim Zaidan dalam bukunya bertajuk al-madkhal al-dirasah al-syariah al-Islamiyyah pada muka surat 42 terbitan muassasah al-risalah, Beirut.


Maka maqasid al-syariah inilah yang menjadi asas kepada kenyataan syeikh al-Tantawi dalam mengeluarkan kenyataannya yang kontroversi itu. Sebabnya mudah kerana isu keselamatan awam (baca: nyawa sepertima yang terletak di turutan kedua dalam maslahah dharuriyyat) adalah lebih penting daripada isu menutup aurat yang terletak di dalam maslahah tahsiniyyat. Lebih-lebih lagi isu memakai purdah ini adalah isu khilaf sarjana Islam. Ada pendapat yang mengatakan wajib menutup muka (iaitu dengan memakai purdah), ada yang mengatakan tidak wajib malah tidak termasuk dalam aurat sekalipun, ada pula yang mengatakan memakai purdah ini tidaklah wajib tetapi merupakan satu kesempurnaan dalam melaksanakan amanah Allah sebagai seorang wanita dan pelbagai lagi pandangan. Malah, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengeluarkan kenyataan bahawa (mafhumnya) Islam tidak pun menyuruh kita menutup muka, aurat kita ialah sama seperti aurat ketika menunaikan solat di mana tidak menutup muka tidak menyebabkan solat kita tidak sah. (Kenyataan ini dirakamkan oleh surat khabar Utusan bertarikh 8 Oktober, tak tahulah pula kalau surat khabar ini telah pun memutar belitkan kenyataan beliau seperti mana yang telah berlaku terhadap kenyataan-kenyataan beliau sebelumnya).


Walaupun begitu, pandangan sebegini hendaklah cuba dibezakan dengan kenyataan kontroversi syeikh al-Tantawi beberapa tahun dahulu di mana beliau telah berfatwa bahawa pelajar perempuan Islam yang menuntut ilmu di Perancis dibenarkan untuk tidak mengenakan tudung seperti mana yang diarahkan oleh kerajaan Perancis. Fatwa syeikh al-Tantawi ini juga berasaskan kepada prinsip maqasid al-syariah ini yang menegaskan bahawa menuntut ilmu itu maslahahnya lebih tinggi daripada menutup aurat. Namun begitu, fatwanya ini telah dikritik hebat oleh para sarjana Islam terkemuka lain seperti Dr Yusuf al-Qardawi yang menegaskankita sebagai orang Islam hendaklah memberitahu hak kita kepada kerajaan Perancis terebut jikalau benar-benar mereka mengamalkan doktrin kebebasan beragama. Isu berpurdah dan isu tudung hendaklah dilihat sebagai isu yang berbeza kerana isu tudung merupakan isu yang disepakati oleh sarjana Islam sebagai menutup aurat wanita (pengecualian kepada sarjana-sarjana Islam yang menganggotai pertubuhan Kakak-kakak dalam Islam dan rakan-rakannya) manakala isu berpurdah masih lagi merupakan khilaf di kalangan para sarjana Islam.


Maka, semoga kita dapat menilai segala peristiwa yang berlaku ini daripada kaca mata ilmu sebelum kita mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak adil kepada mereka sama ada yang terlibat secara langsung atau pun tidak. Moga perbincangan ini termasuk dalam perbincangan yang membuahkan amal.


Tiba-tiba sang murabbi bertanya,


“Bagaimana pula kalau tiba-tiba ada kes yang ada perempuan membawa bom dan disorokkannya dalam tudung dia, mungkinkah isu keselamatan awam boleh mengatasi isu pengamalan agama dengan kerajaan mengharamkan pula pemakaian tudung atas alasan keselamatan awam? Adakah kita akan menggadaikan agama kita semata-mata kerana isu keselamatan awam?”


Sang Mutarabbi hanya mampu berkata,


“Wallahu a’lam”.